Rabu, 31 Oktober 2012

Galian Emas hasil bumi Perak penemuan baru!!!


Jika Bertam, Pahang disahkan mempunyai telaga minyak, Perak tidak kurang menariknya apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan mengenai kejayaan kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan didapati mempunyai sumber emas yang berpotensi dibangunkan secara komersil.

Ketika mengumumkan perkara ini, Dr Zambry berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Mineral untuk membuat kajian lebih mendalam terhadap penemuan tersebut.

Menurutnya kajian itu penting bagi memastikan sama ada kawasan terbabit benar-benar bersifat komersil ataupun hanya mempunyai sedikit sahaja longgokkan emas.

“Kita memang telah kenal pasti di mana kawasan itu. Tapi saya tidak boleh dedahkan kepada umum di mana ia, takut nanti menimbulkan banyak masalah pula.

“Setakat ini biar Jabatan Mineral buat kajian dahulu dan kita tengok hasilnya nanti,'' katanya pada sidang akhabar selepas menyampaikan anugerah pada Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak 2012 di Ipoh, hari ini.

Sementara itu mengenai perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata kerajaan negeri mahu menstruktur semula sumber galian yang terdapat di Perak memastikan bahan mineral itu benar-benar mempunyai nilai komersial yang berharga dan berbaloi untuk menjana keuntungan.

Katanya penstrukturan itu termasuklah keperluan mengkategorikan sumber galian mengikut spesifikasi yang betul bagi mendapatkan pulangan sebenar mengikut harga pasaran.

Tambahnya, penstrukturan itu juga penting bagi mengelakkan pelbagai masalah dari segi bayaran premium daripada pengusaha-pengusaha terlibat.

“Dahulu kita guna satu istilah umum sahaja iaitu galian, tidak kira ia bijih timah, pasir, batu atau bahan lain seperti emas sedangkan sebenarnya bahan-bahan ini berbeza royalti dan premiumnya.

“Justeru, kita telah berbincang supaya ia diperhalusi dan dikategorikan mengikut kesesuaian tertentu. Sebaik kita menukarkan istilah utamanya daripada galian kepada mineral, kita berjaya memperoleh hasil berjumlah RM32 juta berbanding hanya RM1 juta tahun lalu,'' jelasnya.

Beliau berkata, jumlah hasil itu dijangka lebih tinggi apabila mineral berkenaan dikategorikan secara lebih spesifik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...