Sabtu, 23 Jun 2012

PEKIDA dedah taktik samseng tarik krereta

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kumpulan penarik kereta di sekitar ibu negara dikesan mampu mengakses sistem pendaftaran kenderaan, sekali gus membolehkan mereka menjejaki senarai pemilik kenderaan yang disenarai tidak melunaskan bayaran sewa-beli.

Kumpulan itu didakwa mempunyai kemudahan yang biasanya hanya boleh diakses pihak bank bagi mencari mangsa, seterusnya menarik kereta yang tidak dibayar ansuran bulanan itu secara paksa dan kasar.

Perisian sistem itu difahamkan dipasang di dalam komputer riba yang akan dibawa ke mana-mana dan semakan akan dilakukan secara rawak atau ke atas kereta yang mencurigakan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman yang berkata, kes melibatkan kumpulan penarik kereta yang bertindak secara samseng ketika melakukan aktiviti itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Dakwa beliau, kumpulan terbabit kini dapat melakukan ‘aktiviti’ mereka apabila dengan mudah apabila menggunakan sistem tersebut selain mendapat kerjasama daripada pegawai bank.

“Saya difahamkan, setelah mereka mengesan kereta yang disenaraikan tidak membayar ansuran bulanan, penarik kereta ini akan menghubungi pegawai bank untuk meminta dikeluarkan surat tarik kereta.

“Selepas itu mereka akan melakukan kerja itu apabila ‘surat kuasa’ ada pada mereka dan ia tetap dilakukan biarpun tiada pemilik kereta di kawasan sekitar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Roslan mendakwa, penarik kereta biasanya akan menarik kenderaan yang gagal dilunaskan bayaran ansuran sekurang-kurangnya selepas 20 hari dari tarikh yang sepatutnya dibayar.

“Cara mereka menarik juga menimbulkan kesangsian kerana penarik kereta ini bukan sahaja bertindak kasar malah seperti ah long dan akan mengasari pemilik kereta yang enggan bekerjasama.

“Pekida juga mendapat maklumat, mereka turut meminta habuan tidak lebih RM800 daripada pemilik kenderaan untuk tidak menarik kereta. Habuan itu kemudian dikongsi bersama pegawai bank berkenaan," dakwanya.

Roslan yang telah beberapa kali membangkitkan isu ini juga berkata, kegiatan sedemikian sepatutnya dilakukan dengan persetujuan bersama dan tidak harus menggunakan trak penarik untuk mengambil kereta yang ditinggalkan pemilik.

“Untuk itu, kami menuntut Bank Negara Malaysia (BNM) memandang serius perkara ini kerana pelbagai aduan daripada banyak mangsa telah dilaporkan tetapi ia tetap tidak berkesudahan.

“Garis panduan penarikan kereta juga harus diperketatkan dan setiap bank tidak sewajarnya melantik kumpulan penarik kereta yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan," ujarnya.

Roslan berkata, Pekida akan menyerahkan satu memorandum kepada BNM dalam masa terdekat sekiranya badan itu tidak memberi reaksi berhubung isu berkenaan.

*dari laman sesawang akhbar tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...