Rabu, 27 Mei 2015

Nurdiana Puaadi wanita pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah

IPOH - Kerajaan Perak tidak mendiskriminasi pelantikan wanita dalam perkhidmatan awam, sebaliknya melakukan penilaian berdasarkan kemampuan mereka dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa perubahan dibuat untuk meningkatkan jumlah pentadbir kanan daripada golongan wanita.
  
"Sebelum ini kita melantik Pegawai Daerah Kampar, merupakan wanita pertama di negeri ini yang menjawat jawatan tersebut dan sekarang satu lagi jawatan akan disandang oleh wanita iaitu Yang Dipertua Majlis Batu Gajah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
  
Beliau berkata, langkah itu menandakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan supaya wanita juga diberi tempat dalam mentadbir negeri bersama golongan lelaki.
  
Sementara itu, Zambry mengumumkan pelantikan Nurdiana Puaadi, 36, yang berpengalaman dalam bidang pengurusan, pembangunan daerah dan perancangan ekonomi, sebagai Yang Dipertua Majlis Batu Gajah, berkuat kuasa 18 Mei lepas.
  
Nurdiana sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan di Jabatan Agama Islam negeri.
  
Pengalaman beliau dalam perkhidmatan awam termasuk sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2003 dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah pada 2008.
  
Ketika ditemui pemberita, Nurdiana mengucapkan terima kasih kepada menteri besar kerana memberi kepercayaan dan mengamanahkan tanggungjawab kepadanya sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah.
  
Ibu empat cahaya mata ini berkata beliau akan meneruskan perancangan sedia ada serta akan menarik lebih banyak pelaburan baharu ke Batu Gajah yang merupakan kawasan perindustrian.
  
Pada 15 April lepas, kerajaan negeri melantik Latipah Sehibi, 58, sebagai Pegawai Daerah Kampar dan beliau merupakan wanita pertama di Perak yang dilantik ke jawatan berkenaan. - Bernama

1 ulasan:

  1. KAU TAK ZAMBRY APA KESAN KALAU PEREMPUAN JADI LEADER?? HARUUU.. TAKDE BUDI BICARA! SKEMA MELAMPAU DAN MUDAH TUTUP PERIUK NASI ORG! AKU TENGOK SUMA DALAM MAJLIS DAERAH BATU GAJAH NI SUMA KAUM HAWA JE... APEJADAH??? APA DH PUPUS KE LELAKI DLM NEGERI PERAK NI YG BERKELAYAKAN? KE SEMUA NI KRONI-KRONI??? HMM PATUT LAAAAAAA

    BalasPadam

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...