Memaparkan catatan dengan label SPR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SPR. Papar semua catatan
Sabtu, 4 Mei 2013
Simbol Pokok Gelap Bakal Sebabkan Calon Bebas DUN Buntong Kalah!!!
Calon Bebas Dun Buntong, A Sebastiar tidak berpuas hati dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menukar warna simbol pokok dipilihnya daripada cerah kepada warna gelap tanpa notis.
Perkara itu diketahui selepas beliau terserempak dengan pegawai pengurus SPR yang sedang berurusan untuk menyimpan peti undi di Balai Polis Buntong.
Menurutnya, beliau melabur lebih RM40,000 untuk mencetak risalah, kain rentang, poster dan sebagainya bagi tujuan berkempen termasuk turun padang hampir 14 kampung mempromosikan simbol yang diwakilinya.
“Pada hari pencalonan, saya memilih simbol pokok cerah dari senarai simbol yang diluluskan dan mengepil atas borang pencalonan saya. Turut disaksikan pencadang, penyokong dan pegawai SPR di Dewan Bandaran Ipoh.
“Pada pertemuan itu, saya diberitahu warna simbol saya diubah dari warna pokok cerah kepada gelap pada kertas ballet yang akan digunakan pada hari mengundi. Saya terkejut apabila tidak menerima sebarang notis,” katanya ketika ditemui di Pejabat SPR Negeri di sini, semalam.
Sebastiar berkata, perubahan itu dilihat mengelirukan pengundi dan menjadi faktor kekalahan beliau pada hari pengundian 5 Mei depan.
“Saya berkempen menggunakan simbol pokok cerah dan perubahan ini akan membuatkan penyokong serta pengundi terkeliru terutamanya warga emas. Ini juga boleh menjadi punca kekalahan saya.
“Saya telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan SPR dan bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPR Negeri, Ahmad Adli Abdullah berkata, beliau akui isu terbabit merupakan kesilapan teknikal namun, tidak memberi kesan buruk kepada calon pada hari pengundian nanti.
“Isu ini tidak memberi masalah kepada pengundi kerana setiap lambang yang dipertandingkan tetap sama walaupun berubah warna.
“Terdapat 30 lambang yang diluluskan SPR bagi mewakili calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya nanti,” katanya.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Khamis, 2 Mei 2013
Kesan dakwat kekal di jari hilang lepas 7 hari
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa kesan dakwat kekal yang dicalit di jari pengundi tidak akan hilang sehingga tempoh lima hingga tujuh hari.
Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, dakwat itu sudah diuji, diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam kes pengundi awal yang membuat laporan polis dan menyebar gambar kesan dakwat itu hilang dari jarinya, beliau berkata, ia disebabkan petugas SPR tidak mengikuti peraturan yang dinyatakan di botol dakwat itu yang memerlukan ia digoncang 30 minit sebelum digunakan.
Menurutnya, jika digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan di botol dakwat itu, kesannya pasti tidak akan hilang sepenuhnya walaupun cuba ditanggalkan dengan pelbagai cara seperti menggunakan cuka, pencuci, minyak atau apa jua.
"...jika dilihat betul-betul kepada kes yang disebar di laman sosial itu, kesan dakwat memang tidak tanggal sepenuhnya, masih kelihatan di celah-celah kuku, tak boleh tanggal sepenuhnya," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media SPR di sini hari ini.
* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Jumaat, 19 April 2013
Esok penamaan calon PRU13
Kesemua 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan dibuka pada 9 pagi esok selama sejam sebelum ditutup pada pukul 10 pagi.
Proses penamaan calon bermula dengan calon menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13, 5 Mei ini.
Pegawai pengurus pilihan raya kemudiannya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.
Untuk PRU-13, buat pertama kalinya tidak ada lagi tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 5 Mei sebagai tarikh pengundian, dengan calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen, bermula esok selepas proses penamaan calon.
Sabtu, 30 Mac 2013
Pembangkang rancang kekecohan PRU13 dengan edar risalah
Parti pembangkang dikesan cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.
Risalah itu didakwa menyebut, peringkat pertama yang disarankan untuk dilakukan ialah mewujudkan kekecohan di pusat mengundi supaya orang ramai kecewa dan kurang senang dengan kelemahan pengurusan, mewujudkan kumpulan pengundi yang melakukan kekecohan dan memprotes supaya wujud rasa benci pengundi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peringkat kedua pula menurut risalah yang tertera lambang parti pembangkang itu melibatkan pasukan media atas talian yang akan mewujudkan twitter khas memperlekeh SPR.
Menurut risalah itu, sasaran kekecohan ialah di kawasan Parlimen Gombak, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bagan Serai, Bukit Katil, Muar, Pandan dan Sabak Bernam.
Strategi kotor itu didedahkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah dalam sidang akhbar di tapak Wisma Gayong Malaysia, di sini hari ini.
Adiwijaya berkata, maklumat yang diterima PSSGM itu agak mengejutkan dan sangat berbahaya kerana membabitkan keselamatan dan kestabilan negara.
"Kami terkejut apabila terdapat manual pilihan raya pembangkang yang mengandungi saranan untuk menimbulkan kekecohan semasa PRU-13 kelak.
"Kemungkinan besar mereka mahu mencipta suasana tidak aman tersebut agar tindakan dapat diambil terhadap mereka. Sekiranya pihak pembangkang tewas, ini dilihat membolehkan mereka menuduh bahawa PRU-13 dijalankan secara tidak adil," katanya.
Dalam sidang akhbar tersebut, Adiwijaya menunjukkan salinan risalah dengan kepala surat menggunakan lambang parti pembangkang bertarikh 15 Disember 2012 yang meminta ahli-ahli dan petugas PKR melakukan kekecohan di pusat mengundi di 10 kawasan Parlimen.
PSSGM, sehubungan itu menggesa agar SPR menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan berkenaan.
"Pihak berkuasa juga diharap dapat memberikan jaminan dan memastikan keselamatan orang ramai semasa pilihan raya nanti khususnya di tempat pembuangan undi," katanya.
Ditanya penafian Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli semalam mengenai penglibatan pakatan pembangkang dalam hal itu, beliau menegaskan, PKR perlu membuat penafian perkara tersebut secara terbuka.
"Mereka perlu membuat sidang akhbar dan meminta supaya ahli-ahli mereka tidak melakukan sebarang kekecohan semasa PRU-13 nanti," katanya.
Sementara itu, usaha menghubungi Rafizi bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas gagal.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan
Sabtu, 16 Februari 2013
PRU13 senarai nama pengundi akan keluar 22 Februari
Senarai daftar pemilih baru yang melibatkan seramai 13.34 juta pemilih berdaftar sehingga Disember 2012 akan diwartakan pada 22 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini. Beliau menasihatkan semua pemilih berdaftar supaya menyemak daftar pemilih yang baru berkenaan supaya sebarang kesilapan dapat diperbetulkan segera.
Abdul Aziz berkata, secara keseluruhan seramai 16 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diumumkan bila-bila masa selepas daftar pemilih baru itu diwartakan.
"Hanya dua juta lebih rakyat Malaysia yang layak mengundi, belum mendaftar sebagai mengundi. Jumlah ini kurang daripada 20 peratus iaitu lebih kurang 18 atau 19 peratus sahaja daripada 16 juta yang layak mengundi.
"Kesedaran rakyat Malaysia untuk mengundi semakin meningkat dan ini bermakna promosi dan kerja keras SPR berjaya. Daftar pemilih yang baharu melibatkan seramai 2.3 juta pengundi berusia bawah 39 tahun yang baru mendaftar sebagai pemilih," katanya pada sidang akhbar selepas Rundingan Meja Bulat Pandangan Masyarakat Terhadap SPR anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dan akhbar Berita Harian di sini.
Menjawab soalan seorang daripada peserta rundingan, Profesor Dr Ahmad Zaki Abu Bakar dari Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau berkata pelaksanaan undi elektronik memerlukan pindaan undang-undang terlebih dahulu.
Pada majlis yang sama, Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid melancarkan laman sesawang www.bangipoll.com, yang memuatkan data-data kajian sosialisasi politik semasa hasil beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk MPN.
"Laman sesawang ini bersifat neutral, tidak akan menyebelahi mana-mana kumpulan parti politik, telus, objektif dan bakal mengisi lompang-lompang yang ditinggalkan laman sesawang lain serta menambah nilai kepada literasi politik Malaysia.
"Data kajian yang dipersembahkan tidak bersifat bias. Selain itu laman sesawang ini mempunyai bancian yang membolehkan pengunjung menjawab soal selidik secara dalam talian," tambah beliau.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Langgan:
Catatan (Atom)
Tajuk Popular Minggu ini
'Like' Facebook
Rakan-rakan




