Sabtu, 16 Februari 2013

PRU13 senarai nama pengundi akan keluar 22 Februari


Senarai daftar pemilih baru yang melibatkan seramai 13.34 juta pemilih berdaftar sehingga Disember 2012 akan diwartakan pada 22 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini. Beliau menasihatkan semua pemilih berdaftar supaya menyemak daftar pemilih yang baru berkenaan supaya sebarang kesilapan dapat diperbetulkan segera.

Abdul Aziz berkata, secara keseluruhan seramai 16 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diumumkan bila-bila masa selepas daftar pemilih baru itu diwartakan.

"Hanya dua juta lebih rakyat Malaysia yang layak mengundi, belum mendaftar sebagai mengundi. Jumlah ini kurang daripada 20 peratus iaitu lebih kurang 18 atau 19 peratus sahaja daripada 16 juta yang layak mengundi.

"Kesedaran rakyat Malaysia untuk mengundi semakin meningkat dan ini bermakna promosi dan kerja keras SPR berjaya. Daftar pemilih yang baharu melibatkan seramai 2.3 juta pengundi berusia bawah 39 tahun yang baru mendaftar sebagai pemilih," katanya pada sidang akhbar selepas Rundingan Meja Bulat Pandangan Masyarakat Terhadap SPR anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dan akhbar Berita Harian di sini.

Menjawab soalan seorang daripada peserta rundingan, Profesor Dr Ahmad Zaki Abu Bakar dari Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau berkata pelaksanaan undi elektronik memerlukan pindaan undang-undang terlebih dahulu.

Pada majlis yang sama, Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid melancarkan laman sesawang www.bangipoll.com, yang memuatkan data-data kajian sosialisasi politik semasa hasil beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk MPN.

"Laman sesawang ini bersifat neutral, tidak akan menyebelahi mana-mana kumpulan parti politik, telus, objektif dan bakal mengisi lompang-lompang yang ditinggalkan laman sesawang lain serta menambah nilai kepada literasi politik Malaysia.

"Data kajian yang dipersembahkan tidak bersifat bias. Selain itu laman sesawang ini mempunyai bancian yang membolehkan pengunjung menjawab soal selidik secara dalam talian," tambah beliau.






*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








1 ulasan:

  1. Mengundi pada Ahad 31/3/13 kut ?
    313 tu ape ek ?

    Macam biasa je ?

    BalasPadam

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...