Jumaat, 15 Februari 2013

Najib turun Ipoh hari ini...entah apa entah yang dia nak kasi dan buat


Di Ipoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, satu lagi inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat.

Ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Najib berkata UTC Perak adalah UTC ketiga dan terbesar di negara ini selepas Melaka dan Kuala Lumpur. Katanya UTC Perak yang mempunyai 57 jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menerima 50,000 pengunjung pada bulan lepas.

Berbeza dengan UTC lain, Najib berkata UTC Perak mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dilengkapi pasar basah dan gelanggang futsal selain beroperasi tujuh hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 10 malam. Beliau berkata langkah kerajaan mewujudkan UTC Perak bertujuan membangunkan bandar lama Ipoh dan memberi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan yang ditempatkan dalam satu bangunan.

"Kita sempat tanya dengan para pegawai tadi, mereka kata waktu paling sibuk dan kemuncak ialah antara 8.30 malam hingga 10 malam. "Ini bererti bahawa ia adalah satu kemudahan yang kita berikan. Dulu rakyat sukar buat urusan mereka sedang bekerja tapi sekarang ini selepas kerja, solat boleh datang untuk buat urusan dengan jabatan kerajaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran itu.

Beliau berkata kerajaan akan mewujudkan UTC di setiap negeri dan UTC Kuantan yang kini dalam pembinaan akan dibuka selepas ini. "Kita nak buat di setiap negeri iaitu masing-masing perlu ada dua, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan UTC kecuali untuk Wilayah Persekutuan (yang hanya ada UTC).

UTC Perak terletak di aras dua dan tiga bangunan Pasar Besar Ipoh yang dahulunya merupakan pasar raya terbesar di Ipoh yang dikenali sebagai Super Kinta. Ia mula beroperasi 26 Dis 2012.

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan dua inisiatif kerajaan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan dan membantu golongan muda memulakan perniagaan. Inisiatif itu ialah pelaksanaan program Karisma Hati Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membabitkan peruntukan kerajaan RM50 juta dan Dana Usahawan Muda yang juga berjumlah RM50 juta dikendalikan SME Bank.

Di bawah program Karisma Hati Rakyat yang akan memberi faedah kepada 200,000 penerima, baucar RM200 akan diberikan kepada setiap penerima yang layak di Semenanjung manakala RM300 untuk penerima di Sabah dan Sarawak secara "one-off" atau sekali sahaja. "Baucar ini akan diberi kepada mereka yang layak iaitu yang memerlukan bantuan sekolah, barangan dapur serta keperluan khas seperti kerusi roda," kata Najib ketika melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di Ipoh.

Perdana Menteri berkata, baucar tersebut perlu ditebus segera sebelum 31 Mac ini. Mengenai Dana Usahawan Muda, Najib berkata ia adalah untuk membantu golongan belia berumur 30 tahun ke bawah dalam bidang keusahawanan untuk memulakan perniagaan. "Ini akan menjana lebih ramai usahawan berjaya di kalangan orang muda," katanya.

Memperincikan butiran Dana Usahawan Muda itu, Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, dana berjumlah RM50 juta itu akan menyediakan pembiayaan bermula daripada RM50,000 sehingga RM100,000 kepada setiap peminjam dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun termasuk maksimum setahun tempoh kelonggaran.

"Mereka yang diberi pinjaman perlu mengikuti kursus keusahawanan selama empat hari yang dikendalikan SME Bank," katanya kepada pemberita selepas Najib melancarkan dana itu di Lot SME Bank di UTC Perak. Mohd Radzif berkata antara kelayakan pemohon pinjaman adalah belia Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang memiliki perniagaan serta memiliki kelayakan minimum Sijil Keusahawanan/Sijil Vokasional. Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan baucar bantuan khas dan Dana Usahawan Muda itu dalam Belanjawan 2013.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini sempat melawat mangsa kemalangan bas membabitkan 24 Orang Asli di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini. Najib dan isteri yang tiba di hospital pada kira-kira 6.30 petang meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk meninjau, bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang cedera. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam nahas pukul 2 petang itu, seorang pelajar Mali Along, 21, maut, lima cedera parah manakala 18 diberi rawatan pesakit luar apabila bas yang membawa 36 penumpang terbabas di Kilometer 15 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Bas yang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan itu membawa penumpang bagi menghadiri Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar, dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan pelajar Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Kuantan, Pahang. "Kesemua 24 mangsa yang cedera dibawa ke HRPB dan saya diberitahu Mali meninggal dunia di hospital kerana sesak nafas dipercayai akibat kecederaan dalaman," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Katanya, polis menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, bas berkenaan yang menyertai konvoi bersama beberapa bas lain untuk ke perhimpunan bersama Perdana Menteri itu dipercayai bergesel dengan sebuah bas lain sebelum hilang kawalan dan terbabas di tebing sebelah kiri jalan. "Penumpang cedera akibat terhimpit dalam bas," katanya.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...