Jumaat, 8 Februari 2013

My Beautiful...semua Majlis dan Kaunselar dikerah pantau 5S


Semua Yang Dipertua Majlis Daerah dan Ahli Majlis di negeri Perak diarah agar memantau dan memastikan isu kutipan sampah, pemotongan rumput, pembersihan longkang, lampu jalan rosak dan jalan berlubang ditangani dengan serta-merta.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata lima isu terbabit perlu ditangani dengan segera seiring usaha kerajaan Pusat yang melancarkan program My Beautiful Malaysia peringkat negeri, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau sendiri katanya, akan bersama YDP turun padang dan membuat pemeriksaan secara mengejut bagi memastikan semua kawasan di negeri Perak bersih daripada longgokan sampah, rumput panjang dipotong, longkang tersumbat dibersihkan, jalan berlubang ditar semula serta lampu jalan yang rosak dibaiki dengan segera.

“YDP dan Ahli Majlis dikehendaki menangani isu ini dengan segera dan saya sendiri akan turun padang melakukan pemeriksaan secara mengejut pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Kerajaan negeri menerima banyak aduan awam mengenai isu ini dan saya berharap semua pihak termasuk Ahli Majlis memberi kerjasama baik dalam hal ini dengan turun padang dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau berkata, jika sekiranya Majlis Daerah termasuklah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menunjukkan prestasi baik, maka ia tidak mencapai apa yang dihasratkan oleh kerajaan negeri kerana ini merupakan perkara rutin bagi pihak berkuasa tempatan.

“Jika Ahli Majlis tidak sanggup melaksanakan tugas ini, mereka hendaklah melepaskan jawatan dan saya tidak akan bertolak ansur lagi dalam hal ini.

“Sebahagian besar mereka ini turun padang manakala bakinya perlu memperbaiki lagi perkhidmatan mereka,” tambahnya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...