Jumaat, 8 Februari 2013

Siapa yang dapat projek balak kat Manong ni???


Lebih 20 penduduk dari Kampung Guar, Manong menggesa pihak berwajib segera bertindak bagi menghentikan projek pembalakan yang sedang dijalankan di kawasan pinggir Ulu Sungai Guar, Manong dekat sini.

Difahamkan, projek yang dilaksanakan pada tapak seluas 80 hektar di sepanjang sungai Guar itu telah pun bermula sejak lebih tiga minggu lalu. Tinjauan pemberita ke kawasan berkenaan kelmarin, turut mendapati satu kawasan lapang di situ juga sedang diratakan untuk tujuan penempatan kayu-kayu balak berkenaan.

Ketika ditemui seorang penduduk di situ, Abdu Rahman Hamiki Jaafar, 50, berkata pihak penduduk sangat berharap agar pihak yang terlibat dalam projek pembalakan berkenaan dapat menghentikan segera kerja-kerja yang sedang dilaksanakan di situ. Katanya, perlaksanaan kerja-kerja berkenaan dikhuatiri akan memberi implikasi tertentu terhadap punca bekalan air bersih yang selama ini digunakan oleh para penduduk dalam pelbagai aktiviti di kawasan berkenaan.

“Saya berharap agar pihak berwajib dapat membantu kami dalam hal ini kerana rata-rata penduduk kampung di sini memerlukan bekalan air bersih untuk tujuan aktiviti-aktiviti yang diusahakan mereka di sini.

“Antaranya adalah seperti aktiviti-aktiviti yang dijalankan di taman rekreasi di sini selain aktiviti-aktiviti penternakan seperti penternakan lembu fidlot serta burung walid yang diusahakan di kawasan berkenaan.

“Justeru, jika pencemaran air berlaku di sini, sudah pasti ianya memberi kesan kepada semua aktiviti-aktiviti berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Abdul Rahman berkata demikian ketika mengulas berhubung aktiviti pembalakan yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan yang dipercayai telah dimulakan sejak tiga minggu lalu. Selain itu, Abdul Rahman berkata, sejak aktiviti pembalakan berkenaan dijalankan, binatang-binatang liar seperti babi hutan, kera dan lain-lain dari kawasan hutan berhampiran sudah mulai memasuki kampung-kampung di situ.

Menurutnya, kemasukan binatang-binatang berkenaan juga telah mengakibatkan kerosakan terhadap tanaman-tanaman yang diusahakan penduduk di sekitar kawasan berkenaan. “Binatang-binatang berkenaan, khususnya seperti babi hutan juga sudah boleh ditemui di halaman rumah penduduk sekitar sejak akhir-akhir ini.

“Saya percaya binatang-binatang ini pastinya tidak memiliki tempat berlindung serta makanan akibat aktiviti-aktiviti pembalakan tersebut hingga mengakibatkan mereka (binatang-binatang) ini keluar dan memasuki kawasan kampung.

“Saya sekali lagi menggesa pihak berwajib untuk membantu kami menangani masalah ini sebelum ianya berlarutan lebih teruk lagi pada masa hadapan. “Kami bukannya menentang kemajuan, tetapi perlu difikirkan kesannya kepada alam sekitar serta khususnya kepada orang ramai yang tinggal di kawasan sekitar,” katanya lagi.

Ketua Kampung Guar, Mohd Said Bakri, 63, turut bersetuju dengan pendapat tersebut selain mengakui pihaknya telah pun menyuarakan masalah berkenaan kepada pihak yang berkenaan, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang respon mengenainya.

Katanya, perkara berkenaan tidak boleh dilengah-lengahkan kerana selagi berlarutan ia boleh mengakibatkan lebih banyak masalah khususnya pencemaran air di sini. “Sungai Guar ini boleh diibaratkan sebagai loji air di seluruh kawasan mukim Senggang ini yang turut melibatkan sebanyak 21 kampung mulai daripada Kampung Guar sehinggalah ke Ulu Piol di sini.

“Sudah pasti jika air di sini tercemar, ianya bakal membawa banyak keburukan. Yang pasti kualiti air di sini akan terjejas teruk dan memberi kesan kepada keperluan harian penduduk termasuk haiwan-haiwan ternakan di sini,” katanya lagi.

Mohd Said turut mempersoalkan bagaimana projek pembalakan berkenaan mendapat kelulusan untuk dijalankan kerana ianya didapati tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Katanya, berdasarkan pengetahuannya, aktiviti pembalakan tidak boleh dilaksanakan pada jarak 25 meter daripada kawasan tadahan air ini.

“Untuk kebaikan bersama saya sangat berharap agar projek ini dapat dihentikan serta-merta. Jika hendak diteruskan, projek ini mungkin boleh dipindahkan ke kawasan lain yang lebih sesuai, asalkan ianya tidak memberi kesan terhadap alam sekitar,” katanya lagi.

Pemberita juga sempat mendapatkan komen daripada Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Ulu Sungai Guar Manong, Abd Wahab Mohd Sapri. Abd Wahab mahu, pihak berwajib mengkaji semula projek pembalakan berkenaan yang didapati terlalu berisiko sekiranya dilaksanakan kelak.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan pasti membawa pelbagai implikasi tertentu kepada penduduk serta alam sekitar di kawasan berkenaan. “Perlaksanaan projek ini sebenarnya perlu dikaji semula. Terlalu banyak risikonya. Paling dibimbangi adalah kemungkinan berlakunya banjir khususnya banjir lumpur di sini.

“Untuk makluman, rata-rata penduduk di sini, tinggal berhampiran kawasan tebing sungai dan aktiviti-aktiviti pembalakan ini dikhuatiri bakal menyebabkan hakisan, tebing runtuh dan sebagainya kelak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Ulu Sungai Guar, Manong, Khairul Anuar Amran berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada pihak berwajib melibatkan pihak Menteri Besar, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk memberi sebarang respon berhubung perkara menangani permasalahan berkenaan.

Katanya lagi, sebagai kawasan tadahan air di kawasan ini, kawasan berkenaan seharusnya dipelihara dengan baik dan projek pembalakan berkenaan tidak sewajarnya dijalankan di situ.

“Kawasan sungai ini adalah kawasan tadahan air di kawasan ini. Tetapi di sini jugalah projek pembalakan tersebut mahu dilaksanakan. “Jika dilaksanakan ianya bukan sahaja bakal menjejaskan kualiti air, projek pembalakan ini juga pastinya akan menjejaskan aktiviti di taman rekreasi serta penternakan lembu fidlot termasuk sistem pengairan di kawasan ini.

“Oleh itu, kami memohon agar projek ini dihentikan serta-merta atau pun dipindahkan ke tempat lain. Ianya bukan ada apa-apa tujuan bermotif politik, tapi ianya adalah demi kebaikan semua pihak khususnya penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu ketika dihubungi, Adun Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, pihaknya akan menghubungi Lembaga Air Perak (LAP) untuk membuat tinjauan di kawasan berkenaan.
Katanya, sekiranya benar kawasan itu adalah kawasan tadahan air, maka projek pembalakan itu akan dihentikan serta-merta.

“Kita akan gesa LAP untuk lihat kawasan itu. Jika benar ianya melibatkan kawasan tadahan, kita akan menggesa projek pembalakan ini dihentikan serta-merta, lagipun LAP ada memiliki skuad khas bagi menangani permasalahan sebegini,” katanya.




* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...