Sabtu, 4 Mei 2013

Simbol Pokok Gelap Bakal Sebabkan Calon Bebas DUN Buntong Kalah!!!


Calon Bebas Dun Buntong, A Sebastiar tidak berpuas hati dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menukar warna simbol pokok dipilihnya daripada cerah kepada warna gelap tanpa notis.

Perkara itu diketahui selepas beliau terserempak dengan pegawai pengurus SPR yang sedang berurusan untuk menyimpan peti undi di Balai Polis Buntong.

Menurutnya, beliau melabur lebih RM40,000 untuk mencetak risalah, kain rentang, poster dan sebagainya bagi tujuan berkempen termasuk turun padang hampir 14 kampung mempromosikan simbol yang diwakilinya.

“Pada hari pencalonan, saya memilih simbol pokok cerah dari senarai simbol yang diluluskan dan mengepil atas borang pencalonan saya. Turut disaksikan pencadang, penyokong dan pegawai SPR di Dewan Bandaran Ipoh.

“Pada pertemuan itu, saya diberitahu warna simbol saya diubah dari warna pokok cerah kepada gelap pada kertas ballet yang akan digunakan pada hari mengundi. Saya terkejut apabila tidak menerima sebarang notis,” katanya ketika ditemui di Pejabat SPR Negeri di sini, semalam.

Sebastiar berkata, perubahan itu dilihat mengelirukan pengundi dan menjadi faktor kekalahan beliau pada hari pengundian 5 Mei depan.

“Saya berkempen menggunakan simbol pokok cerah dan perubahan ini akan membuatkan penyokong serta pengundi terkeliru terutamanya warga emas. Ini juga boleh menjadi punca kekalahan saya.

“Saya telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan SPR dan bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPR Negeri, Ahmad Adli Abdullah berkata, beliau akui isu terbabit merupakan kesilapan teknikal namun, tidak memberi kesan buruk kepada calon pada hari pengundian nanti.

“Isu ini tidak memberi masalah kepada pengundi kerana setiap lambang yang dipertandingkan tetap sama walaupun berubah warna.

“Terdapat 30 lambang yang diluluskan SPR bagi mewakili calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya nanti,” katanya.




*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...