Khamis, 19 April 2012

Keputeraan ke-84 Sultan Azlan Shah

Daulat Tuanku...Daulat Tuanku...Daulat Tuanku kepada Duli Yang Maha Mulia SULTAN PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM
SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
D.K. , D.K.M. , D.M.N. , D.K. (KELANTAN), D.K. (TERENGGANU),
D.K. (PERLIS), D.K. (JOHOR), D.K. (SELANGOR), D.K. (KEDAH),
D.K.M.B. (BRUNEI), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (PAHANG),
S.S.M. , P.M.N. , P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M. , S.P.T.S. , S.P.M.P. , S.I.M.P.

Baginda telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.

D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.

D.Y.M.M. Tuanku pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam beberapa jabatan kerajaan dan mahir serta berpengalaman dalam bidang perundangan dimana baginda pernah dilantik menjadi Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.

Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara iaitu The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.

Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia Yang Se-Sembilan.

Daulat Tuanku, semoga Allah sihatkan dan panjangkan usia Tuanku, difahamkan sambutan ulangtahun keputeraan Tuanku ditunda sehingga tarikh akan datang berikutan kemangkatan anakanda Tuanku pada 13hb Mac 2012 yang lalu.

Anak-anak KINTA mengucapkan takziah atas kemangkatan anakanda Tuanku, Allahyarham Raja Ashman Shah, semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi...Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...