Isnin, 24 Februari 2014

17,000 rakyat Malaysia tolak BR1M 2014

Sebanyak 17,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun lalu mengambil inisiatif memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka tidak lagi memerlukan bantuan itu tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata langkah itu menunjukkan tahap kematangan yang tinggi di kalangan rakyat negara ini.

"BR1M tahun ini agak luar biasa kerana masyarakat kita makin matang. Ada 17,000 penerima BR1M 2.0 tahun lalu yang tulis surat kepada kita menyatakan bahawa keluarga mereka tidak memerlukan BR1M.
"Walaupun sebahagian besar daripadanya masuk dalam senarai penerima tetapi merasakan bahawa mereka bukan keluarga yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian BR1M 2014 bagi Parlimen Tambun di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, ada juga di kalangan mereka yang memaklumkan kepada kerajaan bahawa bantuan itu tidak lagi diperlukan kerana pendapatan mereka melepasi had kelayakan.
Ahmad Husni berkata, nama 17,000 penerima itu akan dikeluarkan daripada senarai penerima BR1M.

Sementara itu, beliau berkata, 100,000 penerima BR1M yang sepatutnya menerima bantuan itu melalui akaun bank semalam, masih belum menerima bantuan itu berikutan masalah teknikal.
"Hari Isnin (esok) akan diselesaikan. Saya masih lagi dalam proses menerima maklumat lokasi bank mana (yang menghadapi masalah itu). Bank itu menghadapi masalah teknikal kerana terlalu ramai penerima BR1M itu akaunnya di bank tersebut," katanya.

Mengulas mengenai ada penerima yang tidak layak tetapi masih menerima bantuan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penerima terbabit untuk memaklumkan kepada kerajaan.
"Tulis surat dan beri nama orang itu. Kita akan semak dan ambil tindakan," katanya.

Ahmad Husni turut menasihatkan orang ramai supaya mengisi borang permohonan BR1M dengan jujur dan ikhlas bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan itu.
Sebanyak 5.4 juta penerima BR1M 2014 yang mempunyai akaun bank menerima terus bantuan berkenaan melalui akaun mereka semalam manakala kira-kira dua juta penerima yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima baucar secara berperingkat dalam tempoh tidak melebihi 20 hari, bermula hari ini.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.
Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.
Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...