Jumaat, 28 Disember 2012

Ahli KWSP boleh keluarkan simpanan dari Akaun 2 untuk kegunaan Haji


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan ahli-ahlinya mengeluarkan simpanan mereka sehingga RM3,000 daripada Akaun 2 bagi membiayai kos ibadat haji berkuat kuasa 1 Januari tahun 2013 ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata bagaimanapun perkara itu perlu mendapat kelulusan KWSP.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP menggunakan sebahagian daripada akaun kedua iaitu berjumlah RM3,000 ringgit untuk tujuan menunaikan ibadah haji," katanya menerusi program 'Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di sini hari ini Ismee berkata, setakat ini Tabung Haji telah berjaya mengekalkan jumlah perbelanjaan dengan kos RM9,980 seorang jemaah, walaupun jumlah sebenarnya adalah RM15,150.

"Daripada jumlah itu, Tabung Haji menanggung RM5,170 bagi setiap jemaah dan turut menanggung beberapa perkara lain, termasuk kursus haji," katanya.

Ismee juga berkata Tabung Haji sentiasa menambah baik perkhidmatan yang disediakan setiap tahun bagi tujuan memberi keselesaan kepada jemaah.

Pada Januari depan, pegawai Tabung Haji akan ke tanah suci untuk urusan memperbaharui kontrak penempatan sedia ada dan melihat perumahan baru bagi memastikan jemaah haji dari negara ini sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik.

Menyentuh mengenai musim haji yang baru lepas, beliau menyifatkan perjalanan haji baru-baru ini sebagai satu kejayaan daripada sudut perkhidmatan apabila rungutan jemaah berkurangan berbanding sebelumnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib berkata, ahli yang layak membuat pengeluaran haji itu mestilah berusia kurang daripada 55 tahun dan menerima surat tawaran menunaikan haji daripada Tabung Haji.

"Bagaimanapun, ahli KWSP hanya dibenarkan memohon pengeluaran ini sekali seumur hidup serta mereka yang tidak mempunyai simpanan mencukupi dengan Tabung Haji untuk membiayai kos asas haji.

"Untuk membuat permohonan pengeluaran haji, ahli yang layak perlu hadir di cawangan KWSP berhampiran dengan membawa kad pengenalan, surat tawaran dan buku akaun simpanan Tabung Haji yang baru dikemas kini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, ahli-ahli KWSP juga diingatkan mengemukakan permohonan di bawah skim Pengeluaran Haji itu selewat-lewatnya tiga hari bekerja sebelum tarikh akhir menjawab pengesahan menunaikan haji.

"Ini bagi membolehkan KWSP memproses dan mengkreditkan wang ahli ke dalam akaun mereka.

"Wang itu nanti hanya boleh digunakan bagi tujuan mengerjakan ibadat haji," katanya.

Beliau menambah, maklumat lanjut berkenaan skim baharu itu boleh didapati di laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000.


Kerjasama dari dua badan berkanun ini diharap dapat membantu kepada mana-mana ahli KWSP yang perlu menggunakan wang simpanan dari Akaun 2 nya (yang layak) untuk kegunaan ibadat hajinya.






*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...