Khamis, 6 Disember 2012

MB Gesa PLUS Bertindak Segera Atasi Masalah Kemalangan Di Lebuhraya Gopeng






PLUS Expressway Berhad (PLUS) digesa supaya mengambil sebarang tindakan segera mengenalpasti punca kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gopeng yang lihat sebagai kawasan panas kerap berlaku kemalangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberitahu PLUS perlu mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera kerana kemalangan yang berlaku di kawasan itu telah meragut beberapa nyawa pengguna baru-baru ini.

“Saya ingin meminta jasa baik PLUS untuk mengenalpasti sebab munasababnya dan mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera kerana kemalangan yang berlaku bukan kecil memandangkan ia melibatkan banyak kehilangan nyawa,” kata beliau.

Dr Zambry berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar Bangunan SUK, hari ini.

Katanya, perkara tersebut wajar diambil perhatian oleh PLUS bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan berlaku pada masa hadapan sekaligus meragut banyak lagi nyawa pengguna lebuh raya itu.

“Kita perlu ambil perhatian perkara ini dan jangan kita tunggu lama lagi untuk selesaikan perkara ini,” jelasnya.

Berdasarkan respon daripada pengguna jalan raya terbabit, beliau berkata rata-rata memberitahu kawasan sekitar Gopeng dan Gua Tempurung itu sedikit gelap terutamanya ketika waktu hujan.

“Sepanjang jalan itu agak gelap sedikit dan apabila hujan kawasan itu lebih gelap dari kebiasaan.

“Kawasan itu terletak di dua belahan bukit dan menyebabkan berlaku kadar hujan yang lebat dan apabila berlaku kadar hujan lebat, pemandu tidak dapat mengawal kenderaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, penambahan lampu di sepanjang laluan itu dan pemasangan kamera berhampiran kawasan kemalangan antara langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh pihak PLUS menangani masalah tersebut.

Semalam, seorang pemandu bas ekspres Abdul Rahim Musa, 57, terbunuh manakala 10 penumpang cedera setelah kenderaan tersebut merempuh belakang sebuah treler membawa muatan air mineral di Kilometer 304.6, Lebuh Raya Utara Selatan, berdekatan Gua Tempurung tengah malam tadi.

Kejadian tersebut merupakan yang kedua berlaku pada bulan ini selepas seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) maut dirempuh bas ekspres dalam satu kejadian pada 1 Disember lalu selain empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) yang dirempuh sebuah treler pada 21 November lalu.

Kemalangan terbaharu itu mengakibatkan seramai 22 orang terkorban dalam 19 kes kemalangan maut sejak awal Januari lalu sehingga setakat ini, bermula dari Kilometer 293 sehingga Kilometer 310 lebuh raya tersebut iaitu sepanjang 17 kilometer.




*sumber dari Perak Today



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...