Sabtu, 15 Disember 2012

Kejutan dalam Bajet 2013 Perak


Di Ipoh, Bajet 2013 Perak yang akan dibentangkan Isnin ini dijangka menampilkan beberapa kejutan yang bakal memberi manfaat dan faedah kepada rakyat.

Ketika membayangkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata bajet itu akan mengambil kira aspek terbaik untuk rakyat mencakupi semua bidang dan sektor dengan tumpuan terhadap usaha menyeimbangkan pembangunan sosial dan ekonomi.

Katanya, bajet itu juga akan memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam lain untuk mereka yang memerlukan, selain turut memberi penekanan terhadap program membina keupayaan sosial dan kebajikan rakyat.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan pembangkang akan menuduh bajet bakal dibentangkan itu sebagai bajet pilihan raya, terutama dalam senario politik sekarang.

Saya masih ingat kali pertama membentangkan bajet, mereka kata itu bajet pilihan raya, tahun kedua dan ketiga pun mereka kata bajet pilihan raya dan tahun ini sudah tentu mereka akan kata ini bajet pilihan raya juga, katanya pada Program Bersama Media di sini, semalam.

Sementara itu, Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan BN Perak untuk mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Sehubungan itu katanya, BN Perak kini berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi PRU-13 dan yakin kemampuan parti itu untuk terus berkuasa.
Sebelum ini, saya tidak mahu menyuarakan perkara ini walaupun ditanya pelbagai pihak berulang kali kerana tidak mahu orang berfikir saya terlalu yakin dan sombong.

Tetapi sekarang saya boleh menyatakan kami sudah bersedia berdepan PRU-13 dan yakin dapat mempertahankan kuasa, katanya.

Zamry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, keyakinan itu berasaskan maklum balas positif daripada orang ramai setiap kali berjumpa mereka.

Katanya, maklum balas positif itu menunjukkan rakyat menerima dan menghargai pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan BN sejak beliau menerajui tampuk pemerintahan negeri kira-kira empat tahun lalu.



*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...