Selasa, 2 Oktober 2012

Rumah Rakyat dibiayai oleh kerajaan negeri Perak



Seramai 100 keluarga di Parit Buntar akan memiliki rumah sendiri apabila Projek Perumahan Rakyat di Parit Haji Wahab siap kelak.

Projek perumahan untuk rakyat yang dibina oleh Kerajaan Negeri itu dijangka siap pada tahun 2014. Ianya akan dijual kepada rakyat dengan harga yang akan ditetapkan kemudian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri Perak, selaras dengan kepesatan pembangunan negara.

"Kita harap projek ini dapat mengurangkan masalah penduduk di sini terutamanya mereka yang masih tidak mempunyai rumah.

"Ini bukan satu-satunya projek sebegini yang akan kita bina.

"Malah kita akan buat (projek sebegini) di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parit Haji Wahab, Parit Buntar pagi ini.

Turut hadir di majlis tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk R. Ganesan, exco kerajaan negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Puhat Mat Nayan.

Keseluruhan projek menelan belanja hampir RM10.5 juta meliputi tanah seluas 11 ekar. Kos tersebut meliputi pengambilan tanah dan kerja-kerja menambak tapak yang menelan belanja lebih kurang RM2.5juta.

Apabila siap, kawasan rumah teres setingkat tersebut akan dilengkapi dengan kawasan padang permainan, tapak surau, tapak dewan serbaguna dan tapak kedai.

Ia merupakan projek Kerajaan Negeri di bawah peruntukan RMK-10.

Setiap unit rumah teres setingkat berkeluasan 740 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang dapur dan tempat letak kereta.

Permohonan akan dibuka kepada semua masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Walaubagaimanapun, Dr Zambry berkata kerajaan tidak akan meletakkan syarat yang terlalu ketat yang mungkin akan menjejaskan peluang mereka yang benar-benar memerlukan rumah daripada memilikinya.

"Kita akan buat penilaian dahulu demi memastikan siapa yang layak untuk memiliki rumah di sini.

"Kita bimbang jika diletakkan syarat yang terlalu ketat, ianya akan menimbulkan masalah.

"Ada setengah projek yang tidak dapat dijual kerana syarat yang diletakkan terlalu ketat padahal tujuan utama kita adalah untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat dan memastikan setiap rakyat mampu memiliki rumah," katanya.

Tambah beliau sambutan daripada penduduk setempat terhadap projek tersebut amat menggalakkan kerana selepas sahaja majlis pelancarannya, lebih 200 borang telah diedarkan.

Sebelum itu, Puhat berkata ia merupakan projek perumahan rakyat pertama yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Sebelum ini projek perumahan awam yang dibina di seluruh negara merupakan projek Kerajaan Persekutuan.


Syabas... Menteri Besar Perak!!!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...