Jumaat, 19 Oktober 2012

Perlaksanaan SWAT, Perak negeri pertama


Hasil pentadbiran dan pengurusan yang cekap, kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terus melakar kejayaan demi kejayaan yang pastinya dicemburui pihak luar terutamanya pembangkang.

Terbaru, Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang memuji pengurusan kewangan kerajaan Perak, jabatan dan agensi di bawahnya kerana prestasi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Laporan itu turut menunjukkan rekod baik dicapai hasil tindakan kerajaan negeri dan jabatan negeri yang memberi tumpuan dan fokus sejak pelaksanaan Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara bermula 2007.

Ia juga memperlihatkan tahap prestasi prestasi pengurusan kewangan di 11 jabatan dan agensi negeri bagi 2011 juga berada pada tahap baik dengan dua lagi menerima penarafan sangat baik.

Selain itu, semakan di tujuh jabatan pula mendapati kawalan bajet, terimaan dan perbelanjaan berada pada tahap sangat baik manakala kawalan pengurusan di tahap baik.

Bagaimanapun, terdapat lima agensi yang mempunyai pengurusan aset dan stor pada tahap tidak memuaskan iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Kerian serta Slim River, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sementara itu, audit juga mendapati pengurusan perbelanjaan dan pembangunan negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) menunjukkan prestasi baik.

Tidak dinafikan, sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Rakyat (PR) sehingga ke hari ini, pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Penerokaan sumber baru seperti sektor pelancongan dan perkhidmatan secara tidak langsung menambah hasil negeri yang sedia ada kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada sektor pertanian dan berasaskan mineral.

Bukan setakat cemerlang dalam pengurusan kewangan, Perak juga menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Program Transformasi Secara Menyeluruh (SWAT) dan bakal dicontohi negeri-negeri lain selepas ini.

Negeri Perak juga berjaya memastikan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri memiliki Pelan Strategik Organisasi dan Pelan Strategik ICT yang lengkap mengikut format yang ditetapkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Selain itu, Pejabat SUK Perak menjadi pejabat pertama yang mempunyai Pelan Pengurusan Risiko tersendiri selain menjadi negeri pertama yang memiliki Pelan Kesinambungan Perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAMPU.

“Malah lebih membanggakan Perak muncul negeri pertama yang melaksanakan Program Transformasi Secara Menyeluruh (SWAT) yang mana ia akan turut dijejaki oleh negeri lain,” kata Zambry selepas melancarkan Program Transformasi Negeri-Negeri Secara Menyeluruh peringkat negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, melalui transformasi itu, ia memberi penambahbaikan kepada sistem perkhidmatan awam agar menjadi lebih efisien dan cepat.

Selain itu, kerajaan negeri juga katanya, bercadang menaikkan hadiah anugerah cemerlang Menteri Besar dalam sektor perkhidmatan awam ketika ini yang bernilai RM5,000 kepada dua atau tiga kali ganda bagi meningkatkan motivasi kerja di kalangan kakitangan awam di Perak.

Zambry turut berkata, program SWAT merupakan kemuncak kejayaan dan genggaman iltizam kerajaan negeri dalam memastikan agenda transformasi perkhidmatan awam khususnya di Perak dapat direalisasikan dengan jayanya.

Program SWAT di peringkat pentadbiran kerajaan negeri merupakan salah satu agenda transformasi kerajaan kepada agensi sektor awam termasuklah Pejabat SUK, Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Agama Islam negeri.

Komitmen ini dilaksanakan melalui khidmat runding dan kepakaran ICT yang diterajui MAMPU untuk memantapkan jentera pelaksana di setiap spektrum pentadbiran sektor awam.

Kini, jelas terbukti pengurusan kewangan dan pentadbiran yang cekap oleh kerajaan negeri mampu merealisasikan sasaran gagasan Perak Amanjaya.

Dengan transformasi yang dilaksanakan di peringkat negeri dengan slogan Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir, rakyat Perak seharusnya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Menteri Besar bagi memastikan negeri ini terus maju, aman dan makmur.



1 ulasan:

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...