Sabtu, 20 Oktober 2012

DAP Ngeh cuba alih perhatian isu mengelegak Bah Tony



Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham cuba menyembunyikan masalah dalaman parti itu yang semakin serius apabila sengaja mempersoalkan isu bayaran premium tanah yang diluluskan oleh kerajan negeri kepada sebuah syarikat di Daerah Manjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu sepatutnya melihat keadaan diri sendiri sebelum mengeluarkan tuduhan itu yang bertujuan menutup kelemahan yang dihadapi parti pembangkang itu.

“Mereka (pembangkang) akan guna apa sahaja isu di peringkat ini untuk kepentingan politik apatah lagi di peringkat akhir menjelang pilihan raya.

“Tetapi, saya ingin menasihatkan agar mereka tengok dulu masalah dalaman parti, rumahtangga sendiri diperbetulkan kerana kita tahu dalam DAP sudah berlaku pergaduhan besar dan masalah antara parti mereka.

“Sekarang ini, masing-masing berebut-rebut nak wakil rakyat konon-kononnya untuk menguasai Putrajaya dan negeri Perak ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Koo Ham yang mendakwa kerajaan negeri meluluskan tanah di Daerah Manjung kepada sebuah syarikat dengan memberi pengurangan bayaran premium tanah yang nominal.

Dakwanya lagi, permohonan tanah itu telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Manjung.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Koo Ham tidak sepatutnya mengalihkan perhatian umum terhadap masalah dalaman DAP dengan membangkitkan isu lain.

“Ini bagi saya adalah ‘tactical move’ bagi mengelak masalah dalaman serius yang dihadapi seperti isu Bah Tony yang bertindak keluar DAP baru-baru ini diketahui rakyat.

“Dengan cara ini, mereka berharap rakyat akan lupa dan tidak lagi memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi parti pembangkang itu,” tegasnya lagi.

Beliau menambah, kerajaan negeri telah mengikut peraturan yang ditetapkan dalam soal kelulusan bayaran premium itu dan pihaknya menerima beratus-ratus permohonan yang dikemukakan oleh Majlis Daerah, syarikat atau orang persendirian untuk mengurangkan bayaran premium tanah.

Sehubungan itu, dasar kerajaan negeri yang memberi perhatian kepada permohonan semua pihak tidak sewajarnya dipertikaikan kerana jika pengurangan premium dapat memberi nilai yang tinggi kepada kerajaan, budi bicara akan digunapakai untuk pertimbangan kelulusan.

“Sekiranya ia membabitkan institusi yang ada bekerjasama dengan agensi kerajaan dan seterusnya mendapat hasil yang baik daripada itu, maka kita akan beri kelulusan kepada syarikat berkenaan,” katanya sambil mempersoalkan adakah tindakan itu salah jika ia membawa keuntungan yang tinggi kepada pihak kerajaan.

Jelas Zambry, beliau tidak mempunyai masalah dengan pemimpin DAP itu tetapi sejak kebelakangan ini, Koo Ham mengeluarkan kenyataan yang bersifat peribadi termasuk memandang rendah dirinya sebagai Menteri Besar.

Pada Khamis lalu, Koo Ham mengesahkan menerima surat keluar parti daripada bekas Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Amani William-Hunt Abdullah yang lebih dikenali sebagai Bah Tony.

Menurut Koo Ham, Bah Tony sudah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan parti itu sejak beberapa bulan lalu sebelum menghantar surat keluar parti secara rasmi 11 hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih cuba berunding supaya Bah Tony menarik balik keputusannya itu.

Selepas beliau serah surat itu pun, saya ada berbincang dengannya. Bah Tony juga ada berjumpa dan beritahu Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa beliau tiada apa-apa pergaduhan dengan saya atau parti. Beliau keluar atas sebab-sebab peribadi,” katanya.

Bah Tony, 58, yang menempa sejarah sebagai lelaki Orang Asli pertama dilantik sebagai peguam di negara ini dilaporkan telah bertindak keluar daripada DAP baru-baru ini.

Walaupun punca utama Bah Tony meninggalkan parti masih menjadi tanda tanya, terdapat laporan memetik sumber dalaman parti yang mendakwa ia kerana beliau tidak sebulu dengan Koo Ham.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...