Khamis, 18 Oktober 2012

Silver Heritage Di Medan Gopeng Akan Dimaksimumkan Penggunaannya ujar MB






Kerajaan negeri akan menilai semula fungsi bangunan Silver Heritage, dekat Medan Gopeng bagi memastikan penggunaannya dapat dimaksimumkan dengan sebaik mungkin seiring dengan keperluan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan bangunan yang sudah berusia hampir 20 tahun itu antara beberapa premis yang tidak digunakan dengan sepenuhnya.

“Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP) supaya melihat semula fungsi bangunan ini dan apakah yang ingin kita lakukan selepas ini.

“Ketika diwujudkan, ia mempunyai peranan tersendiri tetapi hari ini mungkin matlamat itu sudah berubah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri katanya, menggunakan pendekatan berbincang dengan pihak audit bagi memperbaiki kelemahan yang ada selain meminta khidmat nasihat serta pandangan daripada pihak berkenaan.

Malah, sebuah syarikat perunding bertauliah katanya, dilantik untuk menjalankan audit secara menyeluruh untuk PKNP.

“Kita melihat PKNP perlu sedikit pembaharuan, dikemas-kini dan anjakan yang besar secara menyeluruh,” tegasnya.

Ditanya pemberita adakah kerajaan negeri tidak berani melakukan perubahan dalam menentukan kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Zambry berkata:

“Ia tidak ada kena mengena dengan kedudukan itu atau soal berani tetapi yang paling penting, ia perlukan penelitian rapi dan dilihat secara menyeluruh.

“Jadi, tidak timbul soal ketidaksediaan mengubah dasar atau kerajaan negeri takut kerana kita telah mempunyai perancangan sejak lebih dua tahun lalu termasuklah melantik sebuah syarikat perunding untuk menjalankan tugas audit secara menyeluruh untuk PKNP.

“Laporan itu telah siap dan dihantar kepada kerajan negeri untuk penilaian dan pertimbangan sewajarnya,” kata Zambry lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...