Khamis, 18 Oktober 2012

Perak sudah bersedia jika banjir, kata MB


Kerajaan Perak sudah mewujudkan pusat pemindahan banjir di beberapa daerah di negeri itu sebagai persiapan menghadapi banjir ekoran musim tengkujuh yang telah bermula, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya, selain pusat pemindahan, kelengkapan yang diperlukan bagi menghadapi banjir turut disediakan oleh kerajaan negeri.

“Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah untuk membuka pusat operasi sebagai langkah berjaga-jaga sebagai pendekatan kerajaan negeri menghadapi musim tengkujuh,” kata beliau.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai persiapan awal yang dilaksanakan kerajaan negeri apabila menghadapi musim tengkujuh yang berlaku pada setiap hujung tahun.

Katanya, setiap tahun kerajaan negeri sudah bersiap sedia dengan kemungkinan tersebut bagi mengelak kesilapan sama berulang ketika menghadapi musim banjir terdahulu.

“Kita telah mengenalpasti beberapa kawasan yang berpotensi besar untuk banjir berdasarkan taburan hujan yang tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata, kawasan yang dilihat berpotensi besar untuk berdepan dengan masalah banjir tahun ini ialah Daerah Kinta dan Kerian berdasarkan kekerapan hujan yang turun di kedua-kedua kawasan terbabit.

“Kita lakukan persiapan di semua peringkat kerana tahun sebelum ini kawasan Kampar ditenggelami air manakala di Kerian tidak begitu ditenggelami air…. jadi persiapan secara menyeluruh perlu dilakukan,” tambahnya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...