Jumaat, 2 November 2012

ADUN Air Kuning turun padang bantu daftar BR1M 2.0


Pusat Khidmat DUN Air Kuning mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Sembang Bajet 2013 dan Taklimat Penerangan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM2.0) kepada 300 pemimpin masyarakat dengan meletakkan sasaran golongan bujang sebagai daftar pengundi.

Program tersebut yang berlangsung di Dewan UMNO Tapah semalam memperlihatkan komitmen penuh para pemimpin masyarakat dalam kawasan Parlimen Tapah bagi merealisasikan matlamat itu.

Pengerusi BN Tapah, Dato’ Samsuddin Abu Hassan berkata, beliau berpuashati dengan komitmen semua pihak terutama para pemimpin masyarakat, ketua-ketua parti komponen BN dan NGO dalam menjayakan program ini.

"Program ini berjaya memberikan penerangan dan gambaran yang sejelas-jelasnya tentang pelaksanaan BRIM 2.0 yang bakal diterima bagi kali kedua oleh semua lapisan rakyat termasuk golongan bujang,’’ katanya semasa berucap merasmikan program tersebut.

Menurut beliau, program tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Pejabat Darah Batang Padang mensasarkan golongan bujang yang lahir pada tahun 1992 dan bakal menerima RM250 secara 'one of' daripada Bajet 2013.

Sehubungan itu beliau berharap pemimpin masyarakat dalam kawasan Parlimen Tapah akan turun padang berkunjung dari rumah ke rumah untuk mendaftar golongan bujang ini yang layak sebagai penerima BRIM 2.0 sekaligus sebagai daftar pengundi.

"Jangan tunggu mereka datang jumpa kita tetapi biar kita jumpa mereka dan memberikan perkhidmatan yang sewajarnya sepertimana kita memberikan khidmat kepada rakyat dalam BRIM pertama dulu,’’ katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, pusat khidmat ADUN Air Kuning, Adun Chenderiang, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tapah dan pejabat Daerah Batang Padang akan membuka kaunter perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan proses pemberian bantuan BR1M 2.0 kali ini berjalan lancar.

Samsuddin berkata, pemberian bantuan BR1M 2.0 kali ini dijangka mudah bagi para penerima BR1M pertama yang berpendapatan di bawah RM3,000 yang mendapat RM500 dimana mereka tidak perlu lagi mengisi borang semula.

Menurut beliau, cuma mereka yang tertinggal dan terpinggir boleh datang untuk mengemaskini dan memperbaharui pendaftaran mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...