Khamis, 1 November 2012

LAP syarikat air TERBAIK di Malaysia


Lembaga Air Perak (LAP) berjaya meletakkan dirinya sebagai satu-satunya syarikat pengurusan air terbaik di negara ini sehingga ia dijadikan sebagai ‘bench mark’ kepada agensi lain di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi LAP berkata dengan pengurusan baik dan efektif, prestasi dan pencapaian kewangan LAP terus mencatat perkembangan memberansangkan saban tahun.

Katanya ini dapat dilihat berdasarkan keuntungan hasil sebelum cukai LAP melebihi RM100 juta masing-masing bagi tahun 2010 dan 2011.

Bagi tahun 2009, LAP mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM76 juta.

“Hasil keuntungan memberangsangkan ini, LAP mampu memberi bonus empat setengah bulan kepada kakitangannya.

“Bonus ini merupakan yang tertinggi dalam negara kerana tidak ada syarikat air lain yang membuat bayaran setinggi LAP. Malah syarikat air Pulau Pinang beri hanya satu bulan bonus dan tidak ada bonus langsung bagi syarikat air Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja LAP Ke-12 di Dewan Mesyuarat LAP di Ipoh, hari ini.

Hadir sama dalam Majlis ini, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja LAP Perak, Zainal Ismail,Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga Dan Air, Datuk Ramly Zahari

Menteri Besar berkata berdasarkan prestasi baik LAP, syarikat itu sering menjadi rujukan terbaik buat syarikat air di negeri lain.

“Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa semangat ‘team spirit’ atau kebersamaan dalam budaya bekerja kalangan kakitangan LAP. Saya difahamkan mereka bekerja siang dan malam kerana falsafah LAP adalah mewujudkan hubungan baik antara pekerja, majikan dan juga institusi lain dalam kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya lagi, kejayaan LAP dalam membuat keuntungan tinggi adalah berikutan usaha pihak pengurusan mengawal Non Revenue Water (NRW) berbanding negeri lain.

“Di pihak pengurusan kita telah berjaya mengurangkan punca-punca kehilangan sumber air yang disebabkan kebocoran atau sebagainya manakala daripadan segi kandungan kualiti air bersih juga LAP telah mencapai 97 peratus.

“Ini menjadikan LAP sebagai syarikat air yang berjaya membekalkan kualiti air bersih terbaik di negara” katanya.


1 ulasan:

  1. Mana tak untung banyak LAP tipu orang bil 2 bulan sekali tapi unit kira macam 1 bulan,

    penipu.................

    BalasPadam

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...