Isnin, 28 Januari 2013

BR1M 2.0 dalam proses...bakal diagih mulai Februari 2013


Sebanyak enam juta daripada 7.3 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Ipoh.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4.1 juta adalah penerima BR1M tahun lepas manakala sebanyak 3.2 juta adalah permohonan baharu.

"Sebanyak enam juta permohonan telah diproses LHDN manakala sebanyak 1.3 juta permohonan masih diproses," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Tersusun, Batu 6, Tambun, dekat sini, semalam.

Beliau berkata bagaimanapun hanya pemohon yang mendaftar pada atau sebelum 31 Disember lepas akan menerima bayaran pada Februari ini manakala mereka yang mendaftar selepas tarikh berkenaan akan dibayar pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ahmad Husni berkata seperti tahun lepas, pembayaran akan dibuat melalui pemberian baucar pada majlis yang akan diadakan di kawasan masing-masing.

"Kita ada bank bergerak pada setiap majlis itu, tahun lalu kita ada Bank Simpanan Nasional, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Bank. Tahun ini kita tambah lagi satu bank iaitu Public Bank," katanya.

Beliau menjelaskan pemberian BR1M bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan itu, sebaliknya ia turut memberi kesan ekonomi yang positif kepada penduduk setempat.

"Ia memberi kesan kepada ekonomi negara terutama di kawasan pemberian BR1M dilaksanakan di mana mereka yang menerima BR1M akan berbelanja di kawasan masing-masing dan dengan itu ia akan meningkatkan penggunaan secara menyeluruh di seluruh negara," katanya.

Pembayaran BR1M tahun ini dijangka melibatkan peruntukan RM3 bilion.

Tahun lepas, 4.1 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.



*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...