Isnin, 23 Julai 2012

Perak akan kekurangan bekalan mercun/bunga-api raya tahun ni!

IPOH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak mematahkan cubaan menyeludup mercun serta bunga api yang terbesar di negeri ini tahun ini melibatkan nilai rampasan RM471,270 dengan cukai RM306,325.50 yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui jalan laut dan darat.

Pengarah Kastam negeri Ab. Hamid Salleh berkata dalam serbuan kira-kira jam 5 petang 5 Julai lepas, pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Pengkalan Hulu di sini menahan sebuah kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang.
Pemeriksaan awal 'tail board' di pelabuhan itu mendapati sejumlah 1,190 karton mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM451,100 melibatkan nilai cukai RM293,215, dimuatkan di dalam kontena itu.

"Kebiasaannya mercun serta bunga api itu dijual untuk pasaran di kawasan bandar serta luar bandar sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kontena yang telahpun seminggu berada di pelabuhan itu diikrarkan sebagai perabot.


"Dalam serbuan itu tiada tangkapan dilakukan. Siasatan terhadap syarikat pengimport dan ejen perkapalan masih diteruskan bagi mengesan orang yang terlibat kerana alamat yang kita peroleh adalah palsu," katanya.

Selain itu, pada 17 Julai pula, pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Ipoh menahan dua lelaki berumur lingkungan 20-an dan 40-an bersama sebuah lori satu tan di Plaza Tol Kamunting, Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke Simpang, Taiping di sini.

Ab. Hamid berkata pemeriksaan ke atas lori itu jam 11.41 malam membawa kepada penemuan mercun serta bunga api pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM20,170 melibatkan cukai RM13,110.50.

Katanya kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kemudian dilepaskan sementara dengan jaminan mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan dan seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda barangan rampasan atau tidak kurang 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ab. Hamid berkata pada 2012 sehingga 23 Julai, KDRM Perak memperoleh sebanyak 189 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 137 kes melibatkan penyeludupan rokok dianggarkan bernilai RM1.33 juta yang melibatkan nilai cukai sebanyak RM9.61 juta manakala 22 kes melibatkan minuman keras dengan nilai RM1,158,286.31 serta cukai sebanyak RM1,235,815.73 dan bagi komiditi mercun dan bunga api sebanyak lima kes diperoleh melibatkan nilai RM484,156 dan cukai sebanyak RM313,670.40," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh sama, 20 buah kenderaan disita kerana diguna untuk melakukan kesalahan menurut Akta Kastam 1967 dengan nilai anggaran rampasan sebanyak RM360,000.

Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama kepada KDRM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Perak di talian 05-5272010 atau talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

"Jabatan beri jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran dalam bentuk wang tunai akan diberi bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...