Isnin, 1 Oktober 2012

Niza Meroyan bakal kecundang jika bertanding DUN Pasir Panjang PRU13



Walaupun Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan keyakinannya bahawa kawasan yang dipegangnya diramal kekal milik PR pada PRU akan datang, namun pengumuman Menteri Besar baru-baru ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pihak pembangkang bagi mempertahankan kawasan itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan MIC akan menyerahkan kerusi dewan undangan negeri Pasir Panjang kepada Umno dalam satu proses pertukaran kerusi.

Walaupun Zambry enggan mendedahkan kerusi mana yang akan diserahkan Umno kepada MIC sebagai ganti, namun MIC telah memberikan lampu hijau untuk memberikan laluan kepada Umno bertanding dalam PRU yang akan datang.

Ini berikutan, ada desakan daripada pemimpin akar umbi agar kedua-dua parti itu bertukar kerusi memandangkan kawasan Pasir Panjang didominasi pengundi Melayu.

Pada 2008, calon MIC, Dr S Vasan tewas kepada Nizar (Pas) dengan perbezaan 4,474 undi.

Nizar dalam komennya amat yakin PR tidak mempunyai masalah walaupun seramai 500 pengundi di Felcra Lekir dipindahkan dari pusat undi Dun Pasir Panjang ke Dun Sitiawan.

Keyakinan itu kerana seramai 3,500 pengundi baru khususnya golongan muda di Dun Pasir Panjang dikatakan akan terus memberi sokongan kepada PR ditambah pula Dun Sitiawan adalah rakan seperjuangan iaitu Datuk Ngeh Koo Ham yang dilihat boleh memberikan kemenangan kepada parti itu.

Namun, adakah 3,500 itu bakal menyokong PR sepenuhnya, BN pula dikatakan bakal membuat kejutan calon di situ.

Bekas Menteri Besar itu tetap berhadapan risiko untuk tewas memandangkan jumlah pengundi baru itu mampu memecahkan majoriti yang dimenanginya pada PRU12.

Dalam hal ini, Nizar dan rakan PR dilihat masih perlu berjaga-jaga.

Kedua-dua parti baik BN mahupun PR dilihat mempunyai peratusan kemenangan yang agak sama, di antara Umno dan juga Pas hanya pengundi di kawasan Dun Pasir Panjang akan menjadi penentu siapa wakil mereka kelak.

Sementara di kawasan Dun Sitiawan, Zambry melaungkan amaran bahawa BN mampu memecahkan tradisi di kawasan yang dikatakan kubu kuat DAP sejak dulu lagi.

Namun begitu, kerja kuat yang dijalankan Koo Ham tidak dapat disangkal apabila beliau membuka empat pusat khidmat Adun bagi memudahkan rakyat menyalurkan permasalahan.

Ini dibuktikan apabila DAP kekal di Dun Sitiawan tanpa rekod kalah sejak dulu. Tetapi kenyataan yang dikeluarkan Koo Ham dalam laman sosial, baru-baru ini boleh menggoyah kedudukan Pengerusi DAP Perak itu di Sitiawan.

Ini dikaitkan dengan keputusan beberapa individu yang mendakwa ahli DAP Parlimen Beruas keluar parti itu baru-baru ini.

Sebelum ini, mereka yang menyertai DAP sejak 2008 itu mengambil tindakan drastik keluar parti berpunca kegagalan DAP mengotakan janji yang ditabur kepada pengundi di kerusi Dun Pantai Remis dan Parlimen Beruas.

Berlainan dengan Dun Pangkor menjadi anak emas buat Zambry, bermula dengan perkampungan nelayan kini bertukar rupa kepada satu pusat pelancongan terkenal di Perak mahupun Malaysia.

Pelbagai usaha yang dijalankan Zambry bukan sahaja di Pangkor, malahan di Manjung itu sendiri apabila daerah itu kini menjadi antara daerah termaju di Perak.

Walaupun kedudukan Zambry di Dun Pangkor kelihatan kukuh, namun pastinya pihak pembangkang tidak lepas pandang dalam pemilihan calon yang dikatakan mampu menggugat kerusi panas itu sekali gus merampas kedudukan milik Umno.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan pihak pembangkang akan meletakkan seseorang yang mempunyai nama, berpengaruh serta popular serta pernah berkhidmat di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang bakal memberikan persaingan kepada Zambry nanti.

Masyarakat Parlimen Lumut mungkin akan terus mengekalkan Ahli Parlimennya dikatakan rapat dan sering memenuhi jemputan rakyat.

Kesibukan sebagai Menteri Pengangkutan, tidak menghalang Datuk Kong Cho Ha mendampingi pengundinya. Kemungkinan untuk Cho Ha menang di Parlimen Lumut jika dicalonkan semula agak tinggi.

Namun segalanya terletak kepada pilihan rakyat, Kuasa mengundi dan memilih di tangan mereka.

Zambry: Tsunami politik mungkin berlaku

“Jangan terkejut jika akan berlaku tsunami politik sekali lagi dan kemenangan akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sitiawan yang dikatakan kubu kuat DAP," demikian tegas Zambry.

Fakta itu bersandarkan kepada rakyat sudah yang dikatakan terlalu benci dengan politik pembohongan, maki-hamun dan fitnah.

Menurutnya, jika rakyat merasakan jika parti berkenaan memerintah boleh mendatangkan huru-hara mereka akan memilih parti yang membawa keamanan.

Menurutnya, BN akan memberi tentangan di kawasan itu dan pembangkang jangan terkejut jika tsunami yang berlaku kepada parti BN dahulu boleh berlaku kepada mereka pula akibat perbuatan mereka sendiri.

“Kami sebagai wakil rakyat akan terus melaksanakan kerja. Sokongan ini semakin bertambah apabila jamuan hari raya yang kita anjurkan baru-baru ini dihadiri lebih dari 20,000 penduduk.

“Kita juga akan membuat kejutan dengan mengambil kembali Dun Pasir Panjang dan calon yang akan kita letakkan nanti adalah calon yang boleh menang yang memang mewakili rakyat,” katanya.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, jika sebelum ini, kekalahan BN dikatakan berpunca oleh calon namun untuk kali ini, pihaknya akan mengadakan perbincangan yang lebih mendalam berkenaannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Daerah Manjung terutamanya di Parlimen Lumut adalah daerah yang termaju sekali di Perak.

Pihaknya akan memberi perhatian untuk menyeimbangkan kemajuan yang ada menerusi peluang kerja, kemudahan sosial dan juga sumbangan khidmat masyarakat.

Manakala dari segi masalah setempat, beliau yakin ia tidak melangkaui masalah yang serius dan hanya dimainkan oleh pihak tertentu sahaja untuk meraih undi.

Jelasnya, masalah-masalah ini melibatkan penyusunan masyarakat, masalah kemiskinan di kawasan nelayan, bandar, masalah penempatan yang diperlukan rakyat.

Katanya, bagi Dun Pangkor, terdapat dua pecahan iaitu kawasan nelayan dan juga kawasan penempatan tentera malah pihaknya sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan mencari jalan penyelesaian masalah.

“Ini adalah antara perkara penting yang kita ambil perhatian, selain menyediakan pelbagai pendekatan baru termasuklah menyediakan peluang pekerjaan baru dengan melibatkan diri mereka menjadi nelayan tulen iaitu menyediakan sampan atau bot baru.

“Kita juga melibatkan mereka dalam bidang pelancongan supaya mereka dapat keluar daripada seorang nelayan kepada mereka yang terlibat dalam mengusahakan bidang pelancongan,” katanya.

Nizar: Yakin walaupun ada cabaran

Keyakinan bahawa Dun Pasir Panjang akan terus dimonopoli PR dinyatakan Nizar, hasil sokongan rakyat yang berterusan di kawasan itu.

Menurut Nizar, situasi penduduk yang bersikap terbuka dan boleh berbincang antara ramuan bahawa PR akan terus kekal di kawasan itu walaupun pelbagai strategi telah dibuat Umno.

Katanya, walaupun tindakan mengalihkan sejumlah 500 pengundi daripada Felcra Lekir dari Pasir Panjang dibawa ke Dun Sitiawan, ia tidak menjejaskan parti itu dalam PRU akan datang.

"Ada pihak tertentu menukar tempat pengundian semasa PRU12 tetapi DAP menang kerusi dengan majoriti hampir 12,000. Bermakna mereka tidak ada peluang untuk menang di Dun Sitiawan.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perkara itu kerana di Dun Pasir Panjang sahaja, kami mempunyai seramai 3,500 pengundi baru khususnya golongan muda akan terus memberi sokongan kepada PR.

“Saya kira mana-mana calon yang mewakili PR akan diberikan kemenangan warga pengundi bukan hanya kaum Cina atau India malahan kaum Melayu,” katanya.

Menurutnya, semasa rampasan kuasa dahulu pihaknya telah mendapat gambaran bahawa BN cuba untuk menukarkan Dun Pasir Panjang daripada MIC kepada Umno.

Namun begitu, BN terpaksa mengakui bahawa kawasan itu kubu kuat MIC dan besar kemungkinan tempat ini akan diberikan semula kepada MIC.

Mengenai isu pembinaan tokong di Pasir Panjang yang mengaitkan beliau sebagai individu yang meluluskannya, beliau menjawab itu tidak benar.

Katanya, tokong itu sudah lama wujud dan ia telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa di dalam Umno. Perkara itu diyakini tidak menggugat PR.

Mengenai pembangunan katanya, Dun Pasir Panjang punyai potensi besar untuk membangun tetapi malangnya tiada fokus daripada kerajaan sedia ada menyebabkan potensi untuk maju itu hilang.

“Membawa masuk kilang-kilang seperti Vale memang menjejaskan kerana rakyat di sini tidak berkenan. Saya juga difahamkan sehingga kini masih ada lagi janji-janji yang dibuat melalui Vale kepada BN belum dipenuhi.

“Kita sebenarnya memerlukan industri yang berteknologi tinggi dan saya pernah berhubung dengan pihak pengurusan pelabuhan Lumut untuk perkara ini.

"Malangnya, cadangan yang dibentangkan kepada Kerajaan Negeri ditolak,” katanya.



1 ulasan:

  1. melayu yang sokong nizar laknatullah memanglah MELAYU BABI

    BalasPadam

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...