Rabu, 20 Mac 2013

Tumpas Geng Hairo curi motosikal oleh Polis Perak


Di Ipoh sekumpulan 11 lelaki mempraktikkan sistem barter untuk berurusan dengan pengedar dadah melalui cara menjual motosikal curi bagi mendapatkan bekalan dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Hairo ini dipercayai mula bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Ipoh sejak tahun 2011.

Menurutnya, kesemua ahli kumpulan yang berusia antara 17 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pelayan restoran, malah, ada dalam kalangan mereka yang masih bersekolah dan menganggur.

Beliau berkata, tangkapan ke atas ahli kumpulan berkenaan dilakukan selepas mendapat maklumat daripada orang awam berdasarkan beberapa kes kecurian motosikal yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Berikutan itu, sekumpulan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang sedang menjalankan Ops Lejang berjaya menahan dua suspek di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Yusof pada 8 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek terbabit anggota kami menemui beberapa allen key.

Susulan itu, kami membuat serbuan di lima buah rumah berasingan di sekitar Tanjung Rambutan, Menglembu dan Lahat.

“Melalui serbuan itu, kami berjaya menahan sembilan suspek lain serta menemui beberapa jenis motosikal Yamaha dan Honda pelbagai model serta komponen yang dileraikan dipercayai untuk dijual kepada pengedar dadah dengan harga antara RM200 ke RM300,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Superintendan Maszely Minhad dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Katanya, ketika ujian awal saringan air kencing dijalankan lima daripada suspek didapati positif dadah jenis meth.

“Siasatan kami ke atas suspek turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek yang masih dalam tahanan polis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) direman selama tiga hari mulai 17 hingga 19 Mac.

Manakala suspek yang didapati positif dadah direman selama 14 hari dari 9 hingga Mac ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 28(1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” ujarnya.

Mohd Shukri berkata, melalui tangkapan tersebut, pihaknya percaya telah menyelesaikan ratusan kes motosikal yang berlaku di bandar raya ini sejak 2011.






1 ulasan:

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...