Rabu, 27 Mac 2013
Zambry melawat tapak pembinaan hotel di Meru Raya
Perbadanan Kemajuan Ekonomi negeri Perak melalui anak syarikatnya Perak Corporation Berhad (PCB) akan membuka semula Hotel Casuarina pada pertengahan Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hotel yang mempunyai 150 bilik itu dengan nilai projek RM80 juta dan kini hampir 75 peratus pembinaannya telah disiapkan.
“Hotel ini telah memulakan kerja pembinaan sekitar Disember 2011 lalu dan pada pemerhatian saya semua kerja pembinaan berjalan dengan baik malah kerajaan negeri berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Apabila ia siap kelak, ia akan merancakkan lagi pembangunan yang telah dirancang di Meru Raya dan ini merupakan sebahagian pelan pembangunan dirancang kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di tapak projek hotel berkenaan, semalam.
Zambry menambah, hotel tersebut turut menyediakan sebuah pusat konvensyen dengan kapasiti memuatkan hingga 2,000 tetamu pada satu-satu masa.
“Selain itu juga, ia bakal menawarkan tempat untuk mengadakan seminar, mesyuarat dan apa jua persidangan dengan adanya lapan bilik khas yang mampu dijadikan dua dewan menempatkan 200 hingga 300 orang,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan terus meransang pembangunan di Perak melalui perancangan pelan Perak Aman Jaya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Ibrahim Yaacob berkata, nilai pelaburan pembangunan di sekitar Bandar Meru Raya sejak 2000 mencecah nilai RM2.4 bilion.
“PCB telah memulakan kerja sejak 2000 dan kita jangkakan pada 2020 akan selesai dengan pelaburan mencecah RM5.4 bilion.
“Meru Raya meliputi kawasan seluas 807.2 hektar dan pembangunan ini dilakukan secara berperingkat serta zon-zon yang telah ditetapkan,” katanya.
* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan