Selasa, 12 Mac 2013
Lahad Datu : Kenapa Polis dulu baru ATM...
RAMAI yang bertanya mengapa pihak tentera tidak digunakan dalam menangani krisis pencerobohan kedaulatan negara di Lahad Datu.
Mereka beranggapan sekiranya tentera digunakan, maka selesailah masalah dengan pantas. Ada yang berkata komando tentera lebih hebat dan lain-lain lagilah!
Namun ada justifikasi atau alasan tertentu mengapa pihak polis digunakan terlebih dahulu. Mungkin semasa tulisan ini dikeluarkan pihak tentera sudah pun menggempur masuk ke kawasan terbabit.
Saya ada menerima maklumat mengenai sebab-musabab mengapa kerajaan menggunakan pihak polis dan bukan tentera dalam menangani kancah krisis itu.
Alasannya ialah: Sekiranya tentera digunakan terlebih dahulu bermakna kita sudah mengisytiharkan perang dengan Kesultanan Sulu.
Itu juga bermakna kita telah mengiktiraf Sultan Sulu secara langsung sebagai kerajaan yang sah kerana mengisytihar perang terhadap kita.
Jika ini berlaku ia akan tertakluk kepada Konvensyen Geneva dan beberapa protokol antarabangsa.
Sekiranya polis digunakan sebagai pemerintah dalam operasi itu bermakna, kita masih menganggap ‘tentera Sultan Sulu’ itu sebagai penjenayah atau penceroboh dan bukan combatant atau tentera perang.
Polis boleh menangkap dan menahan (istilah untuk polis) dan bukan menawan – menawan ialah istilah tentera, dan terdapat perbezaan antara kedua-dua istilah itu.
Pihak penceroboh yang ditahan akan ditakrif sebagai tahanan jenayah dan bukan tawanan perang.
Oleh itu, tuduhan di mahkamah awam boleh dilakukan. Seperti tuduhan yang dibuat ke atas lanun Somalia yang kita tahan kerana mencerobohi kapal minyak negara di perairan Somalia sedikit masa lalu.
Mereka tidak dianggap sebagai tawanan perang.
Jika kaedah polis itu diambil, para penceroboh itu boleh diekstradisikan (dihantar balik) ke Filipina dengan lebih mudah.
Jika tindakan ketenteraan atau kita anggap perang diambil, maka sukar hendak dibicarakan dan di mana hendak ditempatkan atau diklasifikasikan mereka ini?
Lagi penerangan DISINI...
Maka terjadilah seperti kisah CIA dan penjara rahsianya (black site) semasa kempen perang menentang pengganas (war on terror) yang mereka laksanakan.
Nyata maklumat itu, adakah jika kita mengambil pendekatan tentera, maka kita kenalah penjarakan mereka di black site seperti di Guantonamo Bay juga?
Oleh sebab itulah, menurut maklumat itu, kita mengambil langkah kepolisan terlebih dahulu.
Namun, sekiranya keadaan tidak boleh dikawal lagi maka Local Area Emergency (Darurat Setempat) boleh diisytiharkan.
Ini bermakna pihak tentera boleh mengambil alih kawasan Lahad Datu atau kawasan pencerobohan sahaja (kawasan yang lebih kecil).
Ia seperti darurat sewaktu ribut banjir di New Orleans dahulu apabila tentera Amerika mengambil alih tugas dan bukan lagi polis tempatan.
Dalam keadaan ini bermakna bukan satu negara Malaysia yang diisytihar darurat dan juga bukanlah bermakna peperangan antara kerajaan Malaysia dengan Kesultanan Sulu.
Darurat itu hanya untuk keselamatan sahaja dan di local area atau kawasan setempat dan mungkin bukan seluruh Lahad Datu pun. Ia hanya meliputi kawasan pencerobohannya sahaja.
Nampaknya kerajaan kita cukup berhati-hati dalam menangani hal ini.
Ia mengambil langkah satu persatu, walaupun setakat ini banyak nyawa anggota keselamatan kita yang sudah terkorban.
Maklumat itu juga menambah, dalam kes Al Maunah dahulu, pada peringkat awal operasinya dikendalikan oleh pihak polis.
Kemudian tentera mengambil alih. Tuduhan ke atas Mohd. Amin (ketua Al Maunah) yang membawa hukuman mati ialah tuduhan mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Beliau tidak dituduh sebagai orang awam iaitu tuduhan membunuh. Beliau dituduh sebagai combatant perang.
Mengenai persoalan sempadan kita yang mudah dibolosi, maklumat itu menyatakan: Mereka masuk sikit demi sedikit dengan bot pancung dalam kawasan yang mana sempadan adalah kabur serta luas dan menjadi tradisi penduduk tempatan dan sekitar berulang-alik.
Tiada negara dalam dunia yang tidak ditembusi sempadannya. Yang sukar ialah Israel dan Vatican. Israel kerana temboknya dan Vatican City kerana dindingnya dikepung oleh bandar Rom. Hatta, Amerika Syarikat pun sering dicerobohi sempadannya oleh orang Mexico.
Negara China yang terkenal dengan Great Wall-nya sering dicerobohi orang bangsa Mongolia nomad atau bangsa padang Steppe yang ulang-alik.
Ia juga serupa dengan kes di Lahad Datu, yang digunakan oleh golongan manusia seperti Bajau Laut yang tidak mengenal batas sempadan.
Apa sekali pun, takziah kita kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam misi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini.
Semoga insiden ini menjadi satu pengajaran yang amat bernilai untuk negara kita.
Al-Fatihah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan