Jumaat, 5 April 2013
7 pelacur Vietnam RM80 ditahan D7 IPK Perak di Ipoh
Kegiatan haram pemilik sebuah premis perniagaan di Jalan CM Yusoff dan Jalan Yang Kalsom yang menjalankan perkhidmatan pelacur warga asing sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7)Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak malam kelmarin.
Premis yang dipercayai didalangi warga tempatan itu menawarkan ‘pakej murah’ berbanding harga yang ditawarkan di pusat spa mahupun rumah urut sedia ada di sekitar bandar raya ini.
Selain itu, premis tersebut dipercayai sudah diserbu sebanyak enam kali namun pemiliknya tetap berani meneruskan operasi tanpa rasa takut. Difahamkan, harga yang ditawarkan serendah RM80 bagi pelanggan yang mahukan perkhidmatan ‘tambahan’ pelacur wanita terbabit.
Bagaimanpun, kegiatan tidak bermoral itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dilakukan di premis berkenaan pada jam 10.15 malam itu. Dalam serbuan itu, seramai tujuh pelacur Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sedang menunggu pelanggan.
Sementara itu, Ketua JSJ negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kegiatan pelacuran di premis itu sukar dihidu sebelum ini kerana ia berselindung di sebalik premis perniagaan.
Menurutnya, premis berkenaan diubah suai dan menempatkan enam bilik khas dimana setiap bilik dilengkapi dengan alat penyaman udara termasuk kemudahan katil dan bilik air selain turut menyediakan paket kondom dan cecair pelincir kepada pelanggan.
“Operasi diketuai Inspektor Nuraini Abu Hassan disertai 12 anggota itu dilakukan selepas menerima maklumat orang awam. Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai peniaga premis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, lelaki yang ditahan itu pada mulanya mengakui sebagai pelanggan namun, selepas siasatan lanjut mendapati dia penjaga premis berkenaan.
“Kesemua gadis Vietnam itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut sebelum diserah pihak Imigresen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372 (b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran serta melakukan perbuatan lucah, manakala penjaga premis pula ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun yang sama,” katanya.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan