Jumaat, 26 April 2013

Polis siasat kes bom Bilik Gerakan BN di DUN Jelapang Perak


Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Jalan Desa Rishah, Buntong di sini nyaris terbakar dipercayai dilempar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ oleh tiga lelaki berumur lingkungan 20-an awal hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian kira-kira 5 pagi itu disedari seorang pengawal keselamatan yang berada di dalam bilik gerakan terbabit.
“Pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu sempat memadam api yang terkena beberapa bendera BN. Bagaimanapun hanya sedikit kerosakan kerana botol yang mengandungi petrol itu tidak terbakar sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Beliau berkata suspek yang menaiki kereta Nissan Sentra merah cuba melarikan diri apabila Pasukan Khas Cantas yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu hendak menahan mereka.
Selepas dikejar, kereta suspek terbabas di kawasan sejauh lima kilometer dari bilik gerakan dan ketiga-tiga lelaki itu sempat melarikan diri, katanya.
Mohd Shukri berkata pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui dua lagi bom petrol serta lima bilah parang.


Katanya kenderaan terbabit merupakan kereta curi yang berkaitan dengan laporan kehilangan kereta di Kota Damansara sebulan lalu.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan politik selain mahu mendatangkan ketakutan kepada penduduk setempat serta pendekatan untuk melakukan sabotaj bagi menggagalkan proses PRU13.
“Ini merupakan kejadian pertama berlaku di Perak. Saya memandang serius kejadian ini dan saya berharap semua pihak tidak melakukan tindakan sedemikian kerana boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.
Polis, katanya, sentiasa memantau semua bilik gerakan parti politik bagi menentukan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula mengarahkan polis supaya menjalankan penyiasatan berhubung insiden serangan  molotov cocktail di bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN Jelapang awal pagi semalam.
Sambil menyatakan rasa sedihnya berhubung insiden itu, beliau beharap, pihak polis dapat menangkap dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit dalam insiden itu.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir
Sehubungan itu beliau berharap rakyat  Perak tidak terjerumus dalam permainan yang tidak memberikan kebaikkan kepada proses pilihan raya ini      
"Jarang kita mendengar ada kejadian membakar pusat daerah mengundi dan insiden yang berlaku ini menyedihkan saya,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan surau taman perumahan, Air Kuning, Tapah hari ini.
Beliau diminta mengulas insiden serangan Molotov cocktail sehingga mengakibatkan sebahagian daripada bilik gerakan BN , Taman Desa Rishah Indah, Jelapang terbakar dan mengalami kerosakan.
Kejadian itu disedari salah seorang petugas yang berada di bilik gerakan tersebut dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, Pasukan Cantas yang sedang melakukan rondaan segera mengejar sebuah kereta jenis Nissan Sentra dipercayai kumpulan lelaki yang menyerang bilik gerakan tersebut.
Menurutnya, berlaku adegan kejar mengejar antara Pasukan Cantas dan suspek sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki suspek terbabas ke bahu jalan.
"Tiga suspek yang dipercayai dalam lingkungan 20-an itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.



*sumber dari laman sesawang portal berita tempatan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...