Barisan Nasional (BN) Perak kelmarin lepas melancarkan manifesto tambahan, kesinambungan daripada manifesto Pusat yang diumumkan Perdana Menteri, 6 April lalu dengan menggariskan lima teras utama merangkumi 82 aku janji demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata manifesto bertemakan BN Untuk Anda itu adalah terjemahan kepada gagasan Perak Amanjaya yang berpaksikan peluang pendapatan, pendapatan dan kehidupan berkualiti melalui sebuah kerajaan yang melaksanakan aku janji yang bersifat realistik.
Lima teras itu membabitkan aku janji untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang inklusif dan menjamin masa depan rakyat serta meningkatkan usaha menarik pelaburan luar dan dalam negara selain menceburi bidang industri baru di negeri Perak.
Untuk aku janji dalam teras keselamatan dan ketenteraman rakyat, BN menjanjikan penambahan anggota polis di seluruh negeri Perak selain pembinaan pondok bit polis di kawasan strategik.
Bagi teras pembangunan seimbang untuk rakyat, aku janji yang ditawarkan ialah membangun semula pekan kecil sebagai pusat ekonomi setempat, pemuliharaan dan pewartaan kawasan hutan.
Dalam melahirkan masyarakat berkemahiran, berilmu dan berintegriti, BN akan menaiktaraf Kolej Universiti Sultan Azlan Shah kepada universiti awam, Universiti Sultan Azlan Shah.
Selain itu, lebih banyak pusat pengajian akan diwujudkan dan menaikkan had pendapatan isi rumah kepada RM5,000 bagi kelayakan memohon pinjaman pelajaran anak Perak dan memperkasakan Seri Iskandar sebagai hub pendidikan tinggi.
Bagi kecekapan penyampaian demi keselesaan rakyat pula, aku janji BN termasuklah meningkatkan kecekapan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah terutama dalam pengurusan sampah, pembersihan longkang dan penurapan jalan rosak.
Untuk teras memelihara toleransi beragama demi rakyat, BN menawarkan peruntukan tahunan untuk masjid dan surau, peruntukan tahunan untuk aktiviti hal ehwal bukan Islam dan rumah ibadat.
Sementara itu, Zambry pada sidang media memberitahu manifesto BN Perak adalah tambahan kepada aku janji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan di peringkat Pusat pada tanggal 6 April lalu.
“Dengan adanya aku janji tambahan ini, ia akan memberi dimensi baru kepada negeri Perak,” katanya.
Jelasnya, manifesto tersebut mengagaskan beberapa aspek antaranya kesejahteraan rakyat, pembangunan seimbang dan memacu ekonomi rakyat.
Selain itu, manifesto berkenaan turut memelihara toleransi agama di samping meningkatkan peranan wanita dalam masyarakat.
“Ini keseluruhan perkara yang akan dilaksanakan oleh BN.
“Ia bukan sekadar manifesto tetapi kita meneruskan perkara yang telah dilakukan sejak empat tahun yang lalu,” katanya.
Zambry juga berkata, dengan pelancaran manifesto tersebut, beliau yakin rakyat boleh membuat perbandingan mengenai pelaksanaan aku janji yang telah dan bakal dilaksanakan kerajaan BN.
Sementara itu, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Salbiah Mohamed berkata, manifesto tersebut mencakupi keseluruhan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
“Rakyat biasanya menyuarakan masalah dari segi ekonomi, keselamatan, pembangunan dan perumahan di kawasan masing-masing dan kita lihat segala aspek ada tercangkup dalam aku janji kerajaan BN,” katanya.
Salbiah berkata demikian sebagai mengulas manifesto BN Perak yang dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Padang Rengas, hari ini.
Melihat ia sebagai kesinambungan kepada manifesto peringkat Pusat, Salbiah yang juga Ketua Puteri negeri Perak menambah, manifesto peringkat negeri itu jelas menekankan aspek kesejahteraan dan keharmonian rakyat Perak dengan memacu ekonomi yang lebih stabil.
Manifesto itu mengandungi 11 perkara antaranya Kesejahteraan Rakyat; Perumahan Rakyat; Memacu Ekonomi untuk Rakyat; Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat; Pembangunan Seimbang untuk Rakyat; Masyarakat Berkemahiran, Berilmu dan Berintegriti.
Sementara itu, calon BN bagi DUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim menyifatkan ia sebagai manifesto yang terbaik kerana beberapa perkara yang tersenarai dalam manifesto itu bakal memberi impak besar kepada rakyat di kawasan yang ditandinginya.
Menurutnya, dalam manifesto tersebut, BN memberi jaminan untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat melalui usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.
Selain itu, tawaran membina tapak perumahan khususnya bagi generasi kedua dilihat amat menepati aspirasi rakyat khususnya penduduk di kawasan Pengkalan Hulu, katanya lagi.
“Manifesto atau aku janji negeri Perak yang dilancarkan hari ini diharap dapat membantu rakyat di Pengkalan Hulu khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan