Jumaat, 19 April 2013

Manifesto PR Perak : pembaharuan cukai tanah dan ketelusan dalam kerajaan


Pakatan Rakyat (PR) Perak menjanjikan pembaharuan cukai tanah dan ketelusan penuh mengendalikan kerajaan dalam manifesto pilihan raya mereka hari ini, usaha yang dilihat untuk merampas negeri yang suatu ketika dahulu kaya dengan hasil perlombongan bijih timah.

Mengikut jejak rakan di Pulau Pinang, gabungan tersebut juga berjanji untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, menghapuskan kemiskinan dan memastikan semua pentadbir negeri mengisytiharkan aset mereka kepada umum.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata pelancaran manifesto hari menunjukkan pemimpin PR lebih daripada bersedia untuk berhadapan lawan mereka Barisan Nasional (BN) pada hari pilihan raya 5 Mei depan, disamping semangat untuk menebus kemarahan akibat rampasan kuasa pada 2009 lalu.

“Hari ini, kami lebih bersedia berbanding pada tahun 2008 lalu untuk memerintah negeri ini.

“Kami sudah lama rindukan dan idamkan hari Perak dapat dikembalikan semula sebagai salah sebuah negeri terkaya dalam negara,” kata beliau dalam ucapannya semasa pelancaran pagi ini.

“Kita adalah antara negeri terkaya dalam negara. Tapi sekarang kita ketiga termiskin.

“Bagaimana ini terjadi? Ia kerana selama 55 tahun, kita membenarkan kerajaan yang memerintah secara tidak adil dan tidak seimbang,” tambahnya lagi.

Parti-parti pembangkang DAP, PAS dan PKR melakukan kejutan selepas melakar kemenangan di Perak pada Pilihan Raya 2008 selepas memenangi 31 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 28 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi.

Walaubagaimanapun, pentadbiran PR telah dirampas pada 2009 ekoran pergelutan kuasa selepas tiga ahli dewan undangan (Adun) negeri PR keluar parti.

Nizar yang ketika itu dipilih sebagai menteri besar Perak ke-10 secara rawak kerana tiada persediaan calon juga berkata “rampasan kuasa” bukan hanya menaikkan kemarahan pengundi negeri tersebut tetapi juga memberi ilham kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyingkirkan BN dari Putrajaya menjelang pilihan raya 5 Mei depan.

Memetik manifesto PR Perak, wakil sepenggal tersebut berkata peruntukan RM40 juta akan disediakan untuk membantu rakyat miskin negeri tersebut dengan memastikan pendapatan setiap individu meningkat kepada gaji minimum sebanyak RM760 sebulan.

“Kami mahu menghapuskan kemiskinan tegar,” katanya, selepas mendakwa sejak empat tahun pemerintahan BN, sejumlah 112,546 ekar tanah telah diberikan kepada “kroni BN”.

Dalam manifesto, PR juga berjanji RM250,000 dalam peruntukan tahunan kepada setiap ahli dewan undangan negeri tanpa mengira pandangan politik mereka, bertujuan membiayai projek mikro di kawasan masing-masing.

Manifesto tersebut juga menjanjikan RM2 juta peruntukan untuk penjawat awam negeri sebanyak 8,000 orang atas inisiatif “Anugerah Integriti” dengan harapan PR mampu menghapuskan rasuah.

Bagi meningkatkan hasil negeri, PR berjanji untuk menyusun semula semua dasar cukai tanah, rizab hutan dan sumber asli bertujuan meningkatkan kecekapan perolehan cukai dan sumber negeri.

Pakatan juga berkata skop perniagaan kontrak serta pemerolehan kerajaan akan diperluas dan semua projek akan dianugerahkan melalui tender terbuka untuk memastikan mereka yang layak sahaja mendapat projek tersebut.

Prestasi buruk agensi-agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan disusun semula, menurut manifesto tersebut bertujuan menghalang ketirisan dan meningkatkan pendapatan.

Dana warisan rakyat Perak akan ditubuhkan dengan jumlah permulaan sebanyak RM10 juta, dengan lima peratus daripada semua hasil yang dijana daripada perlombongan dan pemerolehan sumber asli yang akan menyumbang kepada dana itu.

Untuk meningkatkan pelaburan, PR Perak juga menjanjikan tanah pajakan sehingga 99 tahun bagi pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, serta insentif dalam bentuk 50 peratus diskaun ke atas premium tanah bagi projek bernilai lebih RM500 juta dan/atau projek yang menawarkan 700 pekerjaan dan ke atas.

Perak PR juga berjanji tidak menaikkan kadar cukai tanah dan isi rumah serta air antara 2014 dan 2018 sekiranya mereka berjaya memegang kuasa, serta menambah 20 meter padu pertama yang digunakan oleh isi rumah berpendapatan bawah RM1,000 akan menerima percuma.

Bagi menyelesaikan masalah perumahan, Pakatan berjanji membina sebanyak 30,000 rumah mampu milik di kampung-kampung rancangan yang baru untuk tempoh lima tahun akan datang sehingga 2018.

Tanah Orang Asli akan diwartakan, manakala hak pegangan bebas akan ditawarkan kepada keluarga yang berkelayakan dalam masyarakat asli, janji PR lagi.

Sejumlah RM1, 000 akan diberikan sebagai “dana bantuan pengebumian” bagi waris kakitangan kerajaan, pekerja LGC dan juga warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, tambah manifesto itu lagi.

Janji lain dalam manifesto termasuklah memerangi jenayah dengan menubuhkan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan jenayah yang berisiko tinggi, melaksanakan gaji minima sebanyak RM1, 000 kepada semua kakitangan dalam kerajaan negeri dan GLC, meneruskan biasiswa bantuan RM2, 000 kepada semua pelajar yang layak belajar untuk ijazah pertama dan menyediakan tanah untuk tempat ibadat serta tanah perkuburan untuk semua agama, selaras dengan keperluan, saiz penduduk dan kesesuaian lokasi.

“Ini adalah idea perlawanan. Dan kita dalam PR menawarkan komitmen tidak mengamalkan politik kotor dalam kempen kami.

“Kita minta rakyat untuk menghakimi berdasarkan idea kami,” kata pengerusi jawatankuasa manifesto PR Dr Khairuddin Abdul Malek semasa majlis perasmian tersebut.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...