Jumaat, 26 April 2013

Pengubalan undang-undang aktiviti LGBT makin menular ke seluruh dunia




Perancis bakal menjadi negara ke-14 yang meluluskan usul perkahwinan sejenis. Undian dalam kalangan Ahli Parlimen dewan rendah negara itu menyaksikan sebanyak 331 undi bersetuju meluluskan usul tersebut mengenepikan baki 225 undi yang menentang.
Kini, usul itu hanya tinggal untuk ditandatangani Presiden Perancis, Francois Hollande bagi menjadikannya sebagai undang-undang rasmi negara itu.
Seperti mana United Kingdom (UK), Perancis juga antara negara Eropah yang dihambat kontroversi kelulusan perkahwinan sejenis.
Keterbukaan Perancis untuk menegakkan kesamarataan ternyata tidak mendapat sokongan semua rakyatnya. Sejak minggu lalu, satu demi satu demonstrasi dan protes diadakan oleh ribuan rakyat Perancis, malah ada antaranya yang bertukar ganas.
Mereka membawa pelbagai sepanduk mengutuk Hollande dan Ahli Parlimen negara itu yang tidak dapat membezakan kesamarataan dan nilai moral.
"Hak asasi sememangnya penting. Tetapi biarlah ia bertamadun, berasaskan nilai moral dan tidak melanggar batas agama. Kalau semua hak asasi perlu kita benarkan, kenapa kita tidak benarkan orang berjalan bogel di khalayak atau menghalalkan seseorang menerima rasuah. Jawapannya, kerana ia melanggar nilai moral!" tegas seorang peserta demonstrasi.
Peserta lain pula duduk di jalanan sambil memasang lilin dan melaungkan perkataan seperti maruah, keamanan, cinta dan nilai keluarga.
Apa yang pasti, walaupun keputusan Hollande telah memecahkan Perancis kepada dua bahagian iaitu pro-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan anti-LGBT, namun menariknya peserta demonstrasi di jalanan yang menentang LGBT datang daripada pelbagai latar belakang.
Sebuah akhbar Jerman, Frankfurter Allgemeine Zeitung melaporkan, kota Paris dipenuhi orang Katolik, Islam dan Yahudi, malah menariknya penentang LGBT di jalanan kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda.
"Mungkinkah kami telah memilih pemimpin-pemimpin yang salah? Pemimpin yang kini membawa kami kepada kehancuran institusi kekeluargaan, nilai moral dan agama," ujar seorang peserta demonstrasi, Francois Naudin.
Di sebalik usul membenarkan perkahwinan sejenis itu, pemerhati politik melihat ia sebenarnya salah satu usaha presiden daripada Parti Sosialis itu untuk mengalih perhatian rakyat negara berkenaan daripada krisis kewangan yang dihadapi.

Di United Kingdom 
Perdebatan isu perkahwinan sejenis juga hangat dibahaskan dalam kalangan Ahli Parlimen UK. Perdana Menteri Britain, David Cameron dari Parti Konservatif cuba mengubah prinsip parti itu dengan menyokong usul perkahwinan sejenis.
Pada Februari tahun lalu, persidangan antara Ahli Parlimen negara itu bagi mengundi usul perkahwinan sejenis menyaksikan perpecahan mengejutkan dalam Parti Konservatif. Cameron yang menyokong usul itu tewas apabila ditentang 134 ahli partinya.

PIHAK polis cuba mengekang kemaraan kumpulan penentang yang menolak keras kelulusan perkahwinan sejenis di Perancis.


"Saya menyokong perkahwinan sejenis kerana saya seorang konservatif," ujar Cameron dalam ucapannya pada April 2012.
Menyedari penerimaan sesetengah masyarakat terhadap golongan homoseksual, Cameron secara perlahan-lahan memainkan isu LGBT dan hak manusia dalam agenda politiknya.
Difahamkan, usul itu dibentuk tanpa mengambil kira isu moral, tetapi lebih kepada kepentingan politik atau secara spesifik kepada Parti Konservatif dan Cameron secara peribadi.
Seorang ahli Parti Konservatif, Gerald Howarth bagaimanapun membantah keputusan Cameron sambil menegaskan: "Saya percaya perkahwinan hanya boleh berlaku antara lelaki dan perempuan. Usul ini memang salah dan ia telah memecahkan kepercayaan dalaman ahli parti."
Debat perkahwinan sejenis dikatakan percubaan Cameron bagi memodenkan Parti Konservatif. Bagaimanapun, ramai ahli parti itu telah memberi amaran kepada Cameron agar tidak melemahkan pucuk kepimpinan dengan mengetengahkan isu perkahwinan sejenis.

Di Amerika Syarikat
Sementara itu, di Amerika Syarikat (AS), hak perkahwinan (termasuk perkahwinan sejenis) diletakkan di bawah kuasa negeri masing-masing.
Pada bulan November lalu, Washington, Maryland dan Maine menyertai New Hampshire, Iowa, Connecticut, Massachusetts, New York dan Vermont membenarkan perkahwinan sejenis. Baru-baru ini Rhode Island juga dilaporkan telah meluluskan undang-undang tersebut.
Malah, Presiden AS, Barack Obama dalam satu ucapannya pada Mei 2012 secara terbuka menyatakan sokongan bahawa pasangan sejenis sewajarnya diberi peluang untuk berkahwin.
Bagaimanapun, beberapa media seperti The Associated Press melaporkan, kenyataan Obama itu dilihat sebagai satu 'resipi' untuk memanjangkan penggal kepimpinannya memandangkan pemilihan Presiden AS diadakan pada penghujung tahun tersebut.
Strategi itu terbukti menjadi apabila pengurus kempen Obama, Jim Messina memberitahu, beberapa minggu selepas Obama membuat kenyataan tersebut kaji selidik pendapat orang awam mendapati sokongan terhadap presiden berkenaan melonjak daripada 37 peratus kepada 57 peratus.
"Ia sangat membantu," akui Jim kepada media Bloomberg's Washington.
Apa yang pasti dalam keterbukaan rakyat AS, hakikatnya masih ramai rakyatnya yang percaya sebuah institusi keluarga sejati hanya mampu dibina melalui hubungan lelaki dan wanita yang kemudian berkembang dengan zuriat masing-masing.
Sehingga kini, sebahagian besar pemimpin Parti Republikan masih menentang sokongan yang diberikan Obama ke atas perkahwinan sejenis.

Di Malaysia
Walaupun sehingga kini 14 negara Barat termasuk New Zealand dan Afrika Selatan telah meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis, ternyata negara-negara lain masih kekal menentang perkahwinan sejenis.

KUMPULAN penentang perkahwinan sejenis di AS membawa sepanduk tertulis anak-anak yang baik bersama ibu dan bapanya.


Malah, di sebalik kemodenan dan kebangkitan negara-negara Asia seperti Singapura, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan, tidak ada negara Asia yang berani meluluskan undang-undang itu.
Di Malaysia, sejak beberapa tahun lalu muncul beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula memperjuangkan LGBT atas nama hak asasi manusia.
Kejayaan pemimpin politik Barat mendapat kuasa menerusi perjuangan hak asasi terutamanya LGBT menyebabkan beberapa parti politik di Malaysia juga cuba menggunakan modus operandi yang sama.
Beberapa pemimpin politik bukan sahajanya menyatakan seksualiti adalah hak peribadi, malah tanpa segan silu dan secara terbuka menyertai beberapa program yang dianjurkan NGO terbabit.
"Negara Barat tidak sama dengan negara-negara Timur. Perjuangan kebebasan seksualiti yang dihadapi mereka bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kebanyakan pemimpin mereka berfikiran liberal.
"Walaupun Malaysia telah mula menyaksikan kebangkitan pejuang sebegini, namun ia belum berada pada tahap membimbangkan. Malah, dalam perlembagaan negara sendiri meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai perkara pertama dalam Rukun Negara.
"Selagi perlembagaan ini diguna pakai, tiada apa yang mampu menggugatnya. Dalam apa agama sekalipun menyatakan keperluan kesamarataan sesama manusia, tetapi ia perlu ditafsir berdasarkan situasi.
"Memang benar Malaysia sebuah negara berbilang kaum, tetapi ia bukan bermakna kebebasan seksualiti boleh dibahaskan secara terang-terangan.
"Di negara Barat sendiri pun, masih ramai rakyat mereka menentang hal ini meskipun berbeza agama dan budaya," jelas Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Jas Laile Suzana Jaafar ketika dihubungi Kosmo!.




Anti LGBT
Anti Gay
Anti Anwar Ibrahim









* sumber dari laman sesawang akhbar Kosmo




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...