Rabu, 17 April 2013

Maybank2u Pay sediakan kemudahan urusniaga untuk blog


Malayan Banking Bhd. (Maybank) menjangkakan Maybank2u Pay mampu menarik kira-kira lima peratus daripada 3,000 komuniti laman blog dengan 180,000 transaksi bernilai kira-kira RM5 juta pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, gerbang pembayaran itu menawarkan kaedah pengurusan transaksi bagi pemilik blog untuk menguruskan urusan jual beli yang sistematik dan profesional.

"Ini akan membolehkan pemilik blog melihat maklumat terperinci transaksi jualan seperti tarikh dan masa transaksi, termasuk nama pembeli, alamat e-mel dan jumlah wang yang dipindahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan Maybank2u Pay disini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Ketua Perkhidmatan Kewangan dan Komuniti Maybank Datuk Lim Hong Tat dan Naib Presiden Ketua Perkhidmatan Pembayaran Kewangan Komuniti dan Bank Maya Maybank, Mohd. Suhail Amar Suresh.

Abdul Wahib berkata, ketika ini, hampir 50 peratus pengguna dalam talian menggunakan perkhidmatan Maybank2u.

Beliau berkata, dengan kemudahan terbaharu ini, bilangan pelanggan dijangka meningkat sebanyak 30 peratus dengan anggaran transaksi berjumlah RM105 juta dalam tempoh lima tahun.

"Kami memiliki 2.3 juta pengguna aktif yang membuat lebih 2.5 juta transaksi beli-belah dalam talian dengan nilai sebanyak RM675 juta pada tahun lalu dan ia dijangka meningkat dengan pelancaran gerbang transaksi ini.

"Maybank juga akan melebarkan perkhidmatan Maybank2u Pay ke Indonesia, Filipina dan Singapura pada masa hadapan," katanya.

Jelasnya, Maybank berhasrat untuk memperkenalkan sistem ini di seluruh rantau ini yang mampu menghasilkan impak ketara terhadap pertumbuhan dan perkembangan usahawan mikro.





*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...