Khamis, 25 April 2013

Mustopa disaman UMNO sebab fitnah pasal video spendarnya


UMNO telah memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Mustafa Ali, peguamnya dan lidah rasmi Pas, HarakahDaily kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung Pas terbabit.

Saman tersebut dikemukakan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh selaku pegawai awam UMNO melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Tuntutan saman itu melibatkan lima artikel yang disiarkan setelah Mustafa didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah pada 13 April lalu apabila video lucah seorang lelaki menyerupainya tersebar di laman sesawang sejak 11 April lalu.

Ab. Rauf selaku pihak plaintif menamakan Mustafa defendan pertama; peguam beliau, Asmuni Awi defendan kedua dan Ketua Pengarang HarakahDaily.net, Zulkifli Sulong defendan ketiga.

Dalam writ saman tersebut, Ab. Rauf menyatakan, kenyataan fitnah itu diucapkan oleh Mustafa bersama Asmuni dan telah diterbitkan oleh Zulkifli.

Pihak plaintif mendakwa, Mustafa telah membuat kenyataan berunsur fitnah yang pertama ketika berucap dalam satu majlis di markas Pas Kampung Molek, Dungun, Terengganu pada 13 April lalu.

Pada tarikh yang sama, kenyataan tersebut disiarkan oleh www.malaysiakini.com melalui artikel bertajuk Mustafa nafi letak jawatan SUA Pas manakala HarakahDaily.net menyiarkan artikel bertajuk Mustafa ceramah di Dungun, dakwa UMNO terdesak.

Artikel ketiga bertajuk, Peguam Mustafa dakwa ia fitnah UMNO bertarikh 12 April dan artikel keempat bertarikh 13 April bertajuk, GE13: Mustafa: I'm not the man in videoclip manakala artikel kelima bertajuk Saya tidak mahu jawab, serah kepada peguam - Mustafa.

Menurut pihak plaintif, artikel fitnah tersebut antaranya membawa maksud kononnya UMNO yang sengaja merancang insiden berkaitan video lucah itu, UMNO menyebarkannya untuk kempen dan UMNO menjadi dalang di sebalik pembikinan video lucah tersebut.

Akibat tuduhan-tuduhan serius yang dilemparkan itu dengan niat jahat, pihak plaintif menegaskan, Mustafa bertanggungjawab ke atas reputasi UMNO yang terjejas teruk dan pihak plaintif layak diberikan ganti rugi.

Pihak plaintif menuntut supaya, Mustafa berhenti daripada memberikan kenyataan lanjut berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf tanpa syarat dan menarik balik penerbitan itu.

Defendan kedua juga menurut pihak plaintif, telah memfitnah mereka kerana sebagai peguam bela dan peguam cara, Asmuni telah turun ke arena politik dan didakwa berniat jahat ketika membuat kenyataan tersebut.

Pihak plaintif juga menyatakan, berhak ke atas ganti rugi keterlaluan atau ganti rugi teladan atas dasar defendan ketiga juga sudah sedia maklum dan berniat agar kata-kata fitnah itu diterbitkan.

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut supaya defendan kedua dan ketiga, berhenti memberikan sebarang kenyataan lanjut berunsur fitnah berhubung isu tersebut selain menarik balik kenyataan serta memohon maaf.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini memberitahu pemberita, saman tersebut difailkan kerana pihak defendan melakukan pembohongan dan membawa UMNO ke dalam skandal awam dan kebencian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

UMNO juga menurut Mohd. Hafarizam, ingin menjelaskan yang mereka tidak mempunyai sebarang kaitan serta tidak terlibat sama sekali dengan amalan politik kotor seperti itu dan mahu mendapatkan keadilan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili UMNO, Raihanah Ariffin memberitahu pemberita, saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei depan.




*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...