Jumaat, 26 April 2013

Kuala Kurau : Dipukul kerana bertengkar pasal politik



Kerana mulut badan binasa. Itulah yang terjadi pada seorang peniaga warga emas apabila ditumbuk seorang lelaki ketika sedang menikmati sarapan di sebuah kedai makan di Pekan Kuala Kurau, pagi kelmarin.
Warga emas berusia 63 tahun itu dipercayai ditumbuk suspek selepas berlaku pertikaman lidah antara mereka berdua berkaitan politik.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa sedang bersarapan seorang diri sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba membuat provokasi berhubung parti politik yang disokong mangsa.
“Pertengkaran itu berlaku beberapa minit sebelum suspek bertindak menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di pipi sebelah kiri.
“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, semalam.
Hadir sama, Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszely Minhad.

Datuk Mohd Shukri Dahlan

Sementara itu, dalam kes berasingan di Gerik, sekumpulan empat lelaki dipercayai ahli sebuah parti datang ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kampung Kerunai dan didakwa bertindak memarahi petugas yang berada di bilik berkenaan.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan sebuah poster yang digantung sekitar kawasan berkenaan.
“Mereka didakwa menyerang petugas berusia 26 tahun itu dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak.
“Bagaimanapun, polis berjaya meleraikan pertengkaran tersebut bagi mengelakkan perkara lebih buruk daripada berlaku,” ujarnya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri berkata, sebanyak 17 kes dilaporkan dan empat kertas siasatan dibuka serta 144 ceramah diadakan di seluruh negeri sehingga jam 4 petang semalam.
“Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 193 kes sejak pembubaran Parlimen pada 3 April lalu,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...