Isnin, 8 April 2013

Beberapa Pengedar Dadah Tumpas di tangan Polis di Utara dan Hilir Perak


Rahsia kehidupan mewah dua sahabat sejak beberapa tahun, termasuk memiliki lapan hektar tanah dipercayai ladang kelapa sawit di Baling, Kedah terbongkar apabila mereka didapati terbabit dalam kes pengedaran dadah sekitar Utara Pengkalan Hulu, Gerik dan Kuala Kangsar.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 45 tahun ditahan dalam 'Buy Ops' oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Gerik, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan memaklumkan, kejadian berlaku pada 2.45 petang dan kenderaan anggota JSJN telah menghalang bahagian hadapan serta belakang sebuah kereka jenis Honda Stream dinaiki suspek.

"Sedar kenderaan mereka dihalang, suspek merempuh kedua-dua kereta peronda polis dalam cubaan meloloskan diri. Berikutan itu, tiga das tembakan dilepaskan oleh anggota polis dan terkena tayar kereta terbabit.

"Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, anggota polis menemui satu paket dadah jenis heroin berwarna hijau seberat 450 gram bernilai RM10,000 dalam kenderaan terbabit," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berasal dari Baling dan suspek berusia 45 tahun didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Menurutnya, kedia-dua suspek mempunyai beberapa harta mewah dipercayai menggunakan wang pengedaran dadah dan salah seorang suspek mendaftarkan kereta jenis Honda Stream terbabit atas nama isterinya.

"Suspek turut memiliki beberapa kenderaan lain, iaitu kereta jenis Honda CRZ, motosikal jenis Yamaha LC, Yamaha 125 dan Demak bernilai RM185,500 termasuk sebuah banglo di Baling.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 April di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau memaklumkan, tiga lelaki dipercayai pengedar dadah berusia antara 31 hingga 41 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bidor, Teluk Intan pada hari yang sama.

Katanya, ketiga-tiga suspek bekerja sendiri serta menjadi buruh dipercayai ahli kongsi gelap 04 yang bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Hilir Perak.

"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, anggota polis merampas dadah jenis heroin, syabu dan ganja dengan jumlah berat 611.9 G dianggarkan bernilai RM50,000. Sebuah kereta dan wang tunai RM85,000 turut disita.

"Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan sepasang suami isteri serta rakan mereka ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dalam serbuan di Taman Taiping, kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam kes pengedaran dadah.

Ketua Polis Perak, Mohd Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek sedang berehat dalam rumah berkenaan semasa serbuan pada jam 10.45 pagi dan hasil pemeriksaan, polis merampas dadah jenis heroin seberat 228 gram yang dibungkus dalam paket kecil dipercayai untuk dijual kepada pelanggan dengan harga RM30 sepaket.

"Lanjutan daripada tangkapan ketiga-tiga suspek berusia 21, 31 dan 36 tahun itu, polis menyita sebuah motosikal jenis Yamaha LC, wang tunai dan televisyen jenama LG dengan nilai keseluruhan rampasan RM9,500.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis meth," katanya.

Dalam operasi berlainan, Mohd Shukri memaklumkan, seorang penganggur berusia 31 tahun yang dipercayai penagih tegar telah ditahan oleh sepasukan anggota BSJN IPD Kerian pada jam 10.30 malam, Selasa lalu.

Mohd Shukri berkata, suspek berasal dari Tanjung Piandang didapati menyimpan ketulan ganja mampat seberat 30 gram dan ujian air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah jenis ganja.

"Penahanan suspek turut membawa kepada penemuan dua ketulan ganja mampat seberat 1.95 gram bernilai RM6,000 dan semua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BSJD Kerian turut menyerbu sebuah rumah di Bagan Tiang dan menahan seorang lagi penagih berusia 25 tahun, 31 Mac lalu.

"Dalam tangkapan itu, polis turut menemui dua laras senapang angin buatan sendiri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.




* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...