Sokongan padu masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN) di Parlimen Parit Buntar terus meningkat kepada lebih 70 peratus, sekaligus membuktikan pengundi kaum itu kini dianggap 'fix deposit' kepada BN.
Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Parit Buntar, Salleh Md Disa berkata, peningkatan sokongan itu banyak dipengaruhi faktor keprihatinan Kerajaan BN Perak membela nasib mereka termasuk menyalurkan peruntukan RM1.5 juta untuk pembangunan sahsiah dan modal insan kaum itu di negeri ini.
Menurutnya, masyarakat India Parlimen Parit Buntar kini sudah serik untuk memberikan sokongan kepada parti pembangkang memandangkan wakil rakyat PAS gagal membela nasib dan meningkatkan taraf ekonomi mereka walaupun menabur pelbagai janji manis sebelum itu.
"Meskipun calon BN di Parlimen ini kalah, kami masih memberikan perkhidmatan 100 peratus kepada semua penduduk termasuk masyarakat India.
"Justeru, penduduk Parit Buntar perlu membayangkan lambakan manfaat yang akan diperolehi mereka sekiranya kesemua calon BN di Parlimen Parit Buntar diberikan mandat sebagai wakil rakyat oleh mereka.
"Ini perlu diuar-uarkan kerana ramai golongan masyarakat khususnya orang India kurang mendapat maklumat sedemikian," katanya sewaktu berucap di hadapan lebih 300 orang masyarakat India di Dewan Ramli Ngah Talib, Parit Buntar.
Sementara itu, calon BN DUN Titi Serong, Abu Bakar Md Ali berkata, dengan kecenderungan masyarakat India menyokong BN kini, pihaknya yakin bahawa angin perubahan itu jelas menunjukkan bahawa mereka juga tidak pernah melupakan jasa kepimpinan terdahulu yang telah memerdekakan negara.
"Masyarakat India walaupun sudah wujud masyarakat menengah yang intelek, tetapi mereka tidak lupa daratan sehingga melupakan jasa kepimpinan terdahulu,"katanya.
Bagi calon BN Parlimen Parit Buntar, Mu'ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin pula, masyarakat India kini sudah bijak menilai kepimpinan kerajaan mana yang benar-benar menepati janji, dan kepimpinan parti mana yang sekadar menabur janji 'bulan dan bintang'.
"Selama ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk masyarakan India untuk meringankan beban ekonomi mereka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) dan sebagainya.
"Kali ini, saya berharap rakyat Parit Buntar sudi membalas budi Perdana Menteri dengan menghadiahkan kemenangan BN pada 5 Mei ini,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan